Hospital Pengajar USIM dijangka mula dibina tahun depan - Utusan Malaysia

Hospital Pengajar USIM dijangka mula dibina tahun depan

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) bersama warga guru dan penduduk setempat pada majlis peluncuran Sekolah Angkat Madani - MDIO di Sekolah Panchor, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Sedili, di sini, yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM900 juta dijangka bermula pada awal tahun depan.

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kontraktor yang dipilih bagi projek berkenaan perlu mengemukakan pelan sebelum kerja pembinaan dapat dimulakan.

Katanya, projek pembinaan hospital pengajar itu dijangka mengambil masa sehingga empat tahun untuk disiapkan sebelum dibuka kepada umum.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya difahamkan kontraktor sudah dipilih dan dengan demikian, apabila sudah ada kontraktor, saya percaya tahun depan projek itu boleh dimulakan.

“Insya-Allah, saya akan cuba minta disegerakan. Saya percaya mereka perlu mengemukakan pelan dan sebagainya, tetapi pokoknya tahun depan sudah boleh mula kerja tanah,” katanya selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani – Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) di Sekolah Kebangsaan Panchor, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, cadangan membina hospital pengajar USIM di Kota Tinggi telah disuarakan ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini.

Beliau yang merupakan Menteri Pertahanan berkata, pembinaan hospital pengajar berkenaan bertujuan memperluas penyelidikan kesihatan, khususnya membabitkan masyarakat luar bandar, termasuk penduduk Felda dan komuniti nelayan.

“Projek pembinaan hospital pengajar in penting dalam melahirkan lebih ramai doktor dan pakar perubatan serta berupaya menjadi pusat penyelidikan bagi menghasilkan penemuan baharu dalam bidang kesihatan,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini