SEREMBAN: Pertubuhan TVETec Malaysia mahu memastikan semua individu berkemahiran di negara ini tanpa mengira latar belakang akademik atau sektor menerima pengiktirafan sewajarnya.
Pengarah TVETec Malaysia, Mejar (B) Mohd. Yusof Zainuddin berkata, sehubungan itu pihaknya menyediakan platform dan program berkaitan supaya individu terlibat menerima pengiktirafan formal sekali gus memperkasakan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara.
“Kita menyantuni semua bidang kemahiran termasuk yang sering dianggap tiada peluang untuk pengiktirafan formal. Apa sahaja kemahiran yang memberi nilai kepada masyarakat dan ekonomi, kita galakkan serta raikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Kemahiran, Keusahawanan dan Kesukarelawan TVETec Malaysia 2025 di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 260 individu pelbagai latar belakang telah menerima pengiktirafan. Turut diadakan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara TVETec Malaysia dengan rakan strategik industri dan komuniti.
Tambah beliau, TVETec Malaysia juga memberi pengiktirafan kepada usahawan dan sukarelawan yang aktif menyumbang kepada komuniti tetapi kurang mendapat perhatian.
“Kita mahu usaha dan sumbangan mereka diketahui masyarakat supaya mereka terus bermotivasi dan tidak terpinggir,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi TVETec Malaysia, Prof. Emeritus Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, platform yang diwujudkan itu juga bagi mengisi kekosongan pengiktirafan di peringkat nasional terhadap individu berkemahiran di luar sistem pendidikan formal.
“Di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) peserta memperoleh sijil kemahiran, namun tiada satu platform nasional seperti konvokesyen universiti untuk meraikan pencapaian mereka. TVETec Malaysia berperanan menghimpunkan mereka sebagai alumni serta membuka laluan kepada pendidikan lanjutan, keusahawanan dan jaringan strategik,” katanya.
Menurutnya, jaringan rakan strategik merangkumi pelbagai bidang kemahiran membolehkan peserta termasuk pemegang sijil asas, terus dibimbing dan diperkasakan.
“Inisiatif ini secara tidak langsung membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperdanakan pendidikan TVET di negara ini,” katanya. – UTUSAN










