PETALING JAYA: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bekerjasama menghasilkan garis panduan sokongan pekerjaan bagi kumpulan Neurodivergen dan telah dilancarkan di ibu negara baru-baru ini.
Ketua penyelidik pembangunan garis panduan itu, Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah Mohamad berkata, dokumen tersebut dijangka menjadi rujukan penting kepada majikan, agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan masyarakat.
Katanya, garis panduan itu dapat membantu pihak berkaitan merangka dasar serta amalan sokongan pekerjaan yang lebih menyeluruh.
“Garis panduan ini turut membuka ruang kepada pengiktirafan lebih luas terhadap bakat neurodivergen sebagai sebahagian daripada tenaga kerja negara yang bernilai dan berpotensi tinggi,” katanya.
Jelasnya, inisiatif berkenaan bertujuan membantu majikan dan organisasi menyediakan persekitaran kerja yang lebih memahami keperluan, gaya komunikasi serta kepelbagaian keupayaan individu neurodivergen.
Garis panduan itu dilancarkan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Khairul Firdaus Akbar Khan. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd. Ikmar Nizam Mohamad Isa.
Sementara itu, menurut Nurul Asiah Fasehah, penghasilan garis panduan itu selari dengan falsafah Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli yang menekankan penyelidikan serta inovasi sebagai penyelesaian sebenar kepada masyarakat. – UTUSAN










