SHAH ALAM: Isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar layak menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada setiap bulan seumur hidup selepas suaminya mempunyai caruman dengan badan berkanun itu.
Manfaat sama turut diterima oleh ketiga-tiga anak Amirul Hafiz, 33, yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu stor dekat sebuah syarikat logistik, TVH Malaysia Sdn. Bhd. selama 15 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, semasa hayat allahyarham dan majikannya merupakan seorang pencarum yang aktif di bawah skim Lindung Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Beliau berkata, sebagai isteri, Nurul Nadia layak menerima tiga perlima sementara anak-anak menerima dua perlima daripada pendapatan Amirul Hafiz sebelum ini.
“Caruman itu adalah antara peninggalan arwah untuk isteri dan anak-anak atau waris, iaitu menyediakan bantuan perlindungan keselamatan sosial. Untuk masa depan dan kesinambungan (hidup) keluarga.
“Arwah selama bekerja dan majikannya bertanggungjawab mencarum, maknanya setiap bayaran pencen (penakat) penuh boleh dibayar sebab caruman yang dicarum itu tiada kekurangan,” katanya ketika berkunjung dan menyerahkan sumbangan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 kepada Nurul Nadia Abdul Majid, hari ini.
Mohammed Azman menambah, Perkeso juga akan membantu waris allahyarham untuk mendapatkan pinjaman pendidikan apabila mereka berhasrat melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi (IPT).
Terdahulu, Amirul Hafiz, 33, menemui ajal ketika keluar membeli buku teks matematik anaknya apabila dirempuh pemandu mabuk yang memandu Honda City, pada Ahad lalu.
Pemergiannya meninggalkan seorang balu dan tiga anak, dua daripadanya itu berusia sembilan dan tujuh tahun sementara anak ketiga, Nur Humaira pula dua tahun.
Sementara itu Nurul Nadia ketika ditemui memberitahu terharu dengan bayaran pencen penakat yang akan diterimanya pada setiap bulan dan memberitahu faedah tersebut adalah untuk kehidupan dan pendidikan anak-anaknya.
Saya rasa lega bila terima amaun itu, yang penting anak-anak boleh hidup, itu paling penting. Sebab sebelum ini memang bergantung sepenuhnya kepada suami.
Pentingnya ada Perkeso, bila mereka datang rumah dan beritahu layak dapat, anak-anak layak dapat. Perkeso penting tak kira apa pun pekerjaan, memang penting sangat,” ujarnya. – UTUSAN









