RM5 juta tangani isu ketidakpadanan bakat kerja

RM5 juta tangani isu ketidakpadanan bakat kerja

RAMANAN Ramakrishnan (tiga kanan) dan Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed (dua kanan) beramah mesra dengan pencari kerja pada Majlis Perasmian MyFuture Jobs Career Exploration Centre: Pusat Kerjaya Imersif Digital di NU Sentral, Kuala Lumpur hari ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM5 juta disalurkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyelesaikan isu ketidakpadanan bakat yang kini menjadi cabaran serius buat negara.

Ia susulan, seramai 1.96 juta rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, langkah itu diambil selepas data Laporan Tenaga Buruh Suku Keempat 2025 menunjukkan realiti membimbangkan meskipun kadar pengangguran negara kini stabil pada paras 2.9 peratus.

Beliau berkata, angka itu mencerminkan pembaziran potensi yang besar kerana hampir dua juta tenaga kerja negara bekerja di bawah tahap kemahiran sebenar mereka.

Katanya, pelaksanaan bermula April 2026 itu akan melibatkan kira-kira 400 IPT di seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan Pusat Eksplorasi Kerjaya MYFutureJobs (MYCEC) sebagai pemangkin pendigitalan serta inovasi teknologi dalam kalangan pelajar universiti.

“Oleh itu, saya dengan sukacitanya mengumumkan peruntukan RM5 juta daripada Kesuma menerusi Perkeso untuk melaksanakan usaha pemerkasaan kebolehpasaran graduan dan pencari kerja di IPT awam dan swasta di seluruh negara.

“Kita tidak mahu mahasiswa hanya meneroka masa depan mereka selepas tamat pengajian. Hari konvokesyen semua tersenyum bangga di atas pentas, tetapi sebulan kemudian mencari kerja tanpa hala tuju yang jelas.

“Kita mahu graduan memilih kerjaya yang bersesuaian dengan kemahiran dan pengalaman, bukan sekadar mengikut rakan atau kerana takut ketinggalan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Eksplorasi Kerjaya MYFutureJobs (MYCEC) di NU Sentral, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Bin Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Terdahulu, Ramanan melancarkan MYCEC iaitu Hab Imersif Pertama di Malaysia dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis data pencari kerja secara mendalam bagi memastikan padanan tepat dengan keperluan industri semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN