MITI tidak beri pelepasan kepada Megaspeed, Speedmatrix - Utusan Malaysia

MITI tidak beri pelepasan kepada Megaspeed, Speedmatrix

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak pernah memberikan sebarang pelepasan kepada Megaspeed International Pte Ltd atau sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd, berhubung urusan membawa masuk dan kemungkinan mengeksport semula cip kecerdasan buatan (AI) berprestasi tinggi.

Penegasan itu dibuat susulan dakwaan kemungkinan penyalahgunaan kemudahan pusat data di Malaysia sebagai laluan untuk menyalurkan cip AI ke negara lain bagi mengelak kawalan eksport.

MITI dalam satu kenyataan berkata, Speedmatrix hanya berstatus penyewa di sebuah pusat data di Malaysia dan lawatan pengesahan yang dilakukan kementerian ke premis berkenaan merupakan sebahagian daripada pemantauan berkala terhadap sektor itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut kementerian, lawatan berkenaan tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti bahawa syarikat terbabit telah mendapat sebarang kelulusan atau pelepasan daripada kerajaan.

“Sebarang cadangan atau dakwaan yang membawa maksud sebaliknya adalah tidak tepat,” menurut kenyataan itu.

MITI menjelaskan, Speedmatrix membawa masuk pelayan dan cip AI miliknya sendiri ke Malaysia bagi menjalankan operasi sebagai penyewa pusat data.

Bagaimanapun, aktiviti membawa masuk cip AI ke Malaysia ketika ini tidak memerlukan permit atau lesen, berbeza dengan urusan mengeksport semula cip berkenaan yang tertakluk kepada kawalan kerajaan.

Sejak Julai 2025, mana-mana pihak yang ingin mengeksport, mengeksport semula, memindahkan penghantaran atau membawa secara transit cip AI berprestasi tinggi keluaran Amerika Syarikat (AS) dari atau melalui Malaysia diwajibkan mendapatkan permit terlebih dahulu daripada MITI.

Keperluan itu tertakluk kepada Akta Perdagangan Strategik 2010, manakala pemberian maklumat palsu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berkaitan barangan berkenaan merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan berkaitan, MITI sedang bekerjasama dengan JKDM untuk menentukan sama ada cip yang dibawa masuk ke Malaysia telah dieksport semula ke negara lain dan sama ada transaksi berkenaan mematuhi undang-undang.

Kementerian turut menegaskan Malaysia akan menjalankan pemeriksaan secara bebas berdasarkan perundangan negara serta bukti yang diperoleh, tanpa bergantung sepenuhnya kepada penilaian atau kawalan eksport negara lain.

Bagi memperkukuh penguatkuasaan, MITI juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Singapura dan AS, selain mempertimbangkan langkah tambahan bagi memperketat kawalan sekiranya perlu.

Walaupun Malaysia tidak menguatkuasakan kawalan eksport unilateral yang dikenakan oleh negara lain, syarikat yang beroperasi di negara ini dijangka mengambil kira sekatan berkenaan dalam urusan perniagaan antarabangsa masing-masing.

MITI turut mengingatkan syarikat supaya tidak memberikan gambaran atau maklumat mengelirukan berhubung urusan mereka dengan agensi kerajaan.

Menurut kementerian, Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan dalam sektor pusat data dan teknologi, namun tidak akan membenarkan kemudahan di negara ini digunakan untuk memintas kawalan eksport.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, MITI tidak menyatakan Megaspeed atau Speedmatrix telah melakukan sebarang kesalahan, memandangkan pemeriksaan masih dijalankan bagi menentukan sama ada berlaku pengeksportan semula cip AI yang melanggar undang-undang negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini