Duit persaraan disapu scammer: Anak-anak pantaulah ibu bapa - Utusan Malaysia

Duit persaraan disapu scammer: Anak-anak pantaulah ibu bapa

Ramai pesara yang baru mengeluarkan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mahu menggandakan simpanan mereka tetapi terjerat dengan iklan pelaburan saham, emas, atau mata wang kripto palsu di WhatsApp dan Facebook. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA apa yang lebih menakutkan bagi seorang warga emas yang sudah menghabiskan sebahagian besar hayatnya dengan bekerja keras dan patuh pada undang-undang, tetapi dengan tidak semena-mena diberitahu telah melakukan jenayah berat.

Ketakutan dan rasa panik itulah yang menjadi ‘ramuan utama’ penjenayah siber ketika ini untuk memerangkap warga emas untuk dijadikan mangsa.

Pada September lalu, seorang warga emas berusia 78 tahun di Ipoh, Perak kerugian RM1.9 juta! Tanpa sebarang kekerasan fizikal dan tidak perlu pecah rumah, hanya dengan ugutan di telefon, wang simpanan lelaki itu sebanyak RM1.9 juta berpindah ke akaun scammer.

Memuatkan artikel berkaitan…

Duit sebanyak itu, bukanlah datang bergolek. Itu hasil titik peluh berpuluh-puluh tahun memerah kudrat dan mengikat perut, menyimpan sedikit demi sedikit untuk bekalan hari tua. Tiba-tiba, semuanya tidak tinggal apa. Pasti terduduk mangsa.

Awal November ini pula di Kuching, Sarawak, seorang pesara berusia 69 tahun kerugian RM1.44 juta gara-gara diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pendakwa raya dari Putrajaya.

Hakikatnya sekarang ini golongan warga emas kita sedang menjadi ‘lombong emas’ buat sindiket penipuan dalam talian atau scammer ini.

Kalau kita lihat statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membabitkan warga emas ini angkanya kian meningkat dan membimbangkan.

Pada tahun 2024 sahaja, golongan berusia ini merekodkan kerugian sebanyak RM986.15 juta melibatkan 3,837 kes, purata lebih RM250,000 seorang! Masuk tahun 2025, jumlah kes melonjak lebih 80 peratus.

Secara keseluruhan dari tahun 2025 hingga Mei 2026 pula, lebih 95,000 kes penipuan direkodkan di negara kita dengan kerugian mencecah RM3.80 bilion.

Ini bukan lagi kita boleh cakap kes terpencil. Ini sudah jadi wabak yang meragut ketenangan hari tua ibu bapa kita.

Kenapa orang tua kita mudah sangat terpedaya? Generasi ibu bapa kita dibesarkan dengan sifat hormat kepada pihak berkuasa, mudah percaya pada janji manis, dan jujur dalam berurusan. Kelemahan inilah yang dimanipulasi sepenuhnya oleh penjenayah siber yang tidak berhati perut ini.

Lihat sahaja kes-kes terbaharu yang berlaku bulan ini. Pada 11 November, seorang warga emas berusia 75 tahun di Batu Pahat, Johor berputih mata apabila kehilangan RM325,951.33 selepas hidup dalam ketakutan sejak Mei lalu akibat diugut kononnya akaun banknya dibekukan oleh Bank Negara Malaysia.

Disebabkan panik, dia memindahkan wang simpanannya ke lapan akaun berbeza sehinggalah nombor telefonnya disekat.

Selain taktik ugutan pihak berkuasa (phone scam), tiga lagi jerat yang paling kerap memerangkap warga emas adalah:
• Skim Pelaburan Cepat Kaya: Ini penyumbang kerugian terbesar di Malaysia. Ramai pesara yang baru mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) teringin mahu menggandakan simpanan mereka. Maka terjeratlah mereka dengan iklan pelaburan saham, emas, atau mata wang kripto palsu di WhatsApp dan Facebook.
Pada April lalu, seorang warga emas berusia 70-an rugi RM223,000 hanya bermula daripada mesej WhatsApp yang kononnya ‘tersalah hantar’, sebelum dipujuk menyertai pelaburan tidak wujud.

• Jerat Cinta (Love Scam): Jangan ketawakan golongan tua yang kesunyian. Apabila pasangan sudah tiada dan anak-anak pula sibuk dengan kerja di bandar, sapaan mesra daripada ‘doktor pakar’ atau ‘ahli perniagaan luar negara’ di Facebook Messenger sudah cukup mencairkan hati.
Pada Julai lalu, seorang pesara wanita berusia 70 tahun di Muar kerugian RM183,100 demi membantu ‘kekasih’ mayanya itu.

• Tipu Beli Barang Dalam Talian: Warga emas yang baru belajar guna telefon pintar sering rambang mata melihat iklan ubat sakit lutut, barangan dapur, atau pakej umrah dan percutian murah di media sosial.

Statistik polis menunjukkan lebih 23,000 kes penipuan e-dagang berlaku sejak 2024 hingga awal 2026 dengan kerugian RM215.4 juta. Barang yang dipesan tidak sampai, duit pencen pula melayang.

Dalam hal ini, anak-anak tidak boleh sekadar menggeleng kepala atau menyalahkan ibu bapa apabila nasi sudah menjadi bubur.

Ayat seperti, “Kenapa mak tak tanya orang dulu?” atau “Ayah ni senang sangat percaya orang!” langsung tidak membantu, malah hanya menambah duka kepada mereka.

Ingatlah, zaman sudah berubah. Penyangak sekarang menggunakan taktik psikologi halus yang sukar difahami oleh warga emas khususnya, sedangkan yang muda juga boleh mudah terjebak dengan kelicikan mereka.

Jadi, anak-anaklah yang wajib memainkan peranan sebagai ‘benteng pertahanan utama’ supaya ibu bapa tidak terjebak dengan rajin bertanya dan berbual dengan mereka.

Luangkan masa menelefon atau balik menjenguk orang tua. Tanya perkembangan harian mereka. Dengan siapa yang mereka menelefon hari ini, apa yang mereka beli di Facebook, atau ada sesiapa yang menawarkan pelaburan pelik-pelik. Bila kita rapat, mereka tentu tidak akan berahsia.

Pada masa sama, pantau tetapan telefon dan akaun bank mereka. Bantu tetapkan had pengeluaran harian (transaction limit) yang rendah pada perbankan internet ibu bapa. Aktifkan ciri sekatan panggilan spam pada telefon mereka dan pantau aplikasi media sosial yang mereka gunakan.

Pesan kepada ibu bapa, jika ada panggilan yang mengaku daripada polis, mahkamah, LHDN, atau bank dan mula meminta duit atau nombor TAC/PIN akaun bank, terus letak telefon! Pihak berkuasa tidak pernah menjalankan siasatan atau meminta pindahan wang melalui panggilan telefon.

Jadi ‘penasihat’ sebelum mereka membayar. Pesan pada mereka supaya rujuk dan tunjukkan dahulu kepada anak-anak setiap kali mahu membeli barang di media sosial atau membuat sebarang pemindahan wang dalam talian. Biar anak-anak bantu semakkan kesahihannya terlebih dahulu sebelum duit bertukar tangan.

Jika ibu bapa kita sudah pun terjerat dan wang simpanan mereka licin disapu scammer, perkara pertama yang patut dibuat bukanlah memarahi atau memulaukan mereka. Ramai warga emas yang menjadi mangsa penipuan ini akhirnya jatuh sakit, hilang selera makan, dan mengalami kemurungan teruk. Bukan semata-mata kerana duit yang hilang, tetapi terasa bersalah terhadap anak-anak. Ada yang menyalahkan diri sendiri sehingga berhari-hari berkurung di dalam bilik.

Di saat getir itulah mereka paling memerlukan anak-anak. Tenangkan hati mereka yang sedang berkecamuk. Kesihatan serta nyawa mereka jauh lebih berharga.

Hakikatnya, kasih sayang seorang anak bukan sekadar balik ke kampung setiap kali Hari Raya,atau menghulurkan sedikit wang belanja, tetapi menjadi telinga yang sentiasa ingin mendengar dan pelindung kepada mereka.

Jangan biarkan orang tua kita meniti sisa-sisa usia dalam kesunyian dan ketakutan, hanya kerana kita sibuk dan terlupa bahawa kita masih ada mereka.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini