PROJEK kumpulan cerpen yang sedang saya usahakan ada keunikan yang membezakannya daripada kaedah penerbitan buku secara konvensional.
Saya bukan sekadar mengusahakan penerbitan buku secara swaterbit (‘self-publishing’), malah turut mencuba pendekatan yang menggabungkan Teori Modal Sosial, sokongan komuniti, penghargaan kepada penyumbang dan proses pemilihan karya secara demokratik.
Satu prinsip mudah yang digunakan ialah sesebuah buku tidak semestinya lahir daripada hubungan antara penulis dengan penerbit atau pembeli sahaja. Sebaliknya, rakan-rakan, pembaca dan individu yang mempercayai usaha seseorang penulis juga boleh menjadi sebahagian daripada tenaga yang memungkinkan sesebuah buku diterbitkan.
Sejak 2012, saya menggunakan pendekatan sumbangan modal sosial dalam usaha menerbitkan buku sendiri. Pengalaman itu diteruskan menerusi beberapa projek seperti Rani di Kuil Bhagavati (2025), Sebelas Amanat Swamiji (2025) dan Siapa Bunuh Veer Singh? (2026).
Dalam bidang sosiologi, modal sosial merujuk kepada sumber yang wujud melalui rangkaian hubungan, kepercayaan, nilai bersama dan norma kerjasama.
Saya melihat konsep ini ada tiga dimensi yang relevan dengan projek penerbitan saya.
Dimensi bonding social capital melibatkan hubungan rapat sesama rakan dan kenalan.
Bridging social capital membuka ruang kerjasama merentas kelompok masyarakat. Linking social capital pula menghubungkan individu dengan pihak yang memiliki kedudukan atau sumber berbeza.
Namun begitu, saya tidak mahu berhenti pada usaha mendapatkan wang untuk menampung kos percetakan. Saya mahu para penyumbang merasakan mereka ada peranan penting dalam kelahiran buku ini yang belum ditetapkan judul.
Dalam projek kali ini, keistimewaan itu ditambah dengan satu lagi percubaan di mana para penyumbang modal sosial diberikan hak mengundi untuk menentukan 15 cerpen yang akan dimuatkan dalam buku.
Pada pandangan saya, pendekatan ini ada nilai tersendiri dalam perkembangan penerbitan sastera. Lazimnya, keputusan memilih cerpen untuk sesebuah buku terletak di tangan penulis, editor atau penerbit. Dalam projek ini, saya membuka ruang kepada komuniti penyokong untuk turut menentukan karya yang akan dipilih.
Bagi saya, pendekatan ini mampu mengubah hubungan antara penulis dan pembaca. Pembaca tidak lagi berada pada kedudukan menunggu buku siap diterbitkan sebelum membuat keputusan untuk membeli. Mereka dilibatkan lebih awal iaitu ketika proses pembentukan kandungan berlangsung.
Saya melihatnya sebagai satu bentuk pendemokrasian kecil dalam budaya penerbitan karya sastera di mana kuasa memilih tidak dimonopoli penulis atau penerbit.
Walau bagaimanapun, memiliki idea yang menarik tidak bermakna usaha mendapatkan sokongan akan berjalan lancar.
Sejak awal bulan lalu, saya menghubungi rakan-rakan melalui WhatsApp, Facebook dan pelbagai saluran media sosial.
Tanpa segan silu, saya memperkenalkan projek buku, menerangkan konsep sumbangan modal sosial dan mengajak mereka menyumbang.
Ada rakan memberikan respons segera. Ada individu meminta penjelasan lanjut. Ada pula yang membaca mesej tetapi tidak memberikan sebarang maklum balas.
Sebagai seorang penulis sepenuh masa yang sedang mengusahakan penerbitan sendiri, tentulah usaha ini menuntut kesabaran amat tinggi.
Ada cabaran psikologi yang tidak kelihatan dalam usaha tidak konvensional dan norma baharu seperti ini.
Penulis biasanya berasa segan kerana perlu meminta bantuan berkali-kali. Mungkin mesej rayuan sumbangan dianggap sebagai gangguan atau usaha mengambil kesempatan terhadap persahabatan.
Berdasarkan pengalaman, saya juga perlu menerima hakikat hubungan persahabatan tidak semestinya menghasilkan sokongan kewangan.
Seseorang mungkin menghargai karya saya tetapi tidak mampu menyumbang. Seseorang lagi mungkin ada kemampuan tetapi tidak berminat membantu.
Di sinilah konsep modal sosial dan nilai persahabatan benar-benar diuji. Ternyata hubungan sosial atau persahabatan di media sosial tidak boleh dianggap sebagai tanda usaha kita akan disokong dengan ikhlas.
Sebagai tanda penghargaan, para penyumbang akan menerima sejumlah buku sebaik terbit.
Nama penyumbang juga didokumentasikan secara kekal dalam buku dan di blog.
Bagi saya, tindakan mengabadikan nama penyumbang bukan sekadar memenuhi tuntutan penghargaan. Ia merupakan sebahagian daripada falsafah penerbitan yang saya amalkan.
Apabila seseorang membuka buku itu bertahun-tahun kemudian, mereka bukan sahaja menemukan nama penulis, malah juga nama individu yang membantu memungkinkan buku itu diterbitkan.
Saya juga bertanggungjawab memastikan urusan penerbitan, percetakan, pengedaran dan penghantaran dilaksanakan dengan teratur. Kepercayaan yang diberikan para penyumbang perlu dibalas dengan kesungguhan dan ketelusan.
MEMBINA BUDAYA PENERBITAN BERSAMA KOMUNITI
Keunikan projek penerbitan ini sebenarnya terletak pada gabungan beberapa budaya kerja yang saling melengkapi.
Pertama, saya bertindak sebagai penerbit dan menguruskan sendiri usaha mendapatkan modal untuk menerbitkan buku.
Kedua, modal sosial dimanfaatkan sebagai sumber kolektif melalui jaringan persahabatan dan komuniti pembaca.
Ketiga, penyumbang diberikan pengiktirafan melalui dokumentasi nama dan pemberian naskhah.
Keempat, mereka turut diberikan kuasa mengundi bagi menentukan kandungan buku.
Kelima, para penyumbang diberitahu perkembangan projek dari semasa ke sesama.
Keenam, apabila judul dan reka kulit buku siap, mereka akan tahu dahulu sebelum dipaparkan kepada umum.
Dengan kata lain, saya sedang menguji satu model budaya penerbitan yang menggabungkan pembiayaan komuniti dengan penyertaan demokratik dalam pemilihan karya.
Rayuan sumbangan menerusi WhatsApp dan media sosial perlu diulang berkali-kali.
Sesungguhnya, proses mendapatkan sokongan memerlukan masa, kesabaran dan sedikit sikap muka tembok.
Projek ini bukan semata-mata tentang menghasilkan sebuah buku yang memuatkan 15 buah cerpen. Saya sedang membina satu jaringan kerjasama antara penulis, pembaca, sahabat dan individu yang percaya penerbitan karya sastera boleh diusahakan melalui sokongan masyarakat.
Saya tidak mahu mengukur kejayaan projek ini semata-mata berdasarkan jumlah wang yang berjaya dikumpul. Sebaliknya, saya mahu melihat sejauh mana usaha ini berjaya mempertemukan rakan-rakan dan komuniti melalui minat terhadap penulisan dan pembacaan. –UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).











