BUTTERWORTH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu teksi berusia 73 tahun yang mayatnya ditemukan terapung di kawasan tali air di Kepala Batas, Oktober lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, S. Ganesan, 41, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Haron Chua Abdullah, 73, antara pukul 2 pagi hingga 4 pagi di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir hingga Jalan Permatang Pak Elong, Kepala Batas pada 8 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dihukum mati.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin berikutan kesalahan berkenaan tidak boleh dijamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 18 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan laporan bedah siasat dan laporan kimia.
Dalam kejadian 8 Oktober lalu, seorang pemancing terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan terapung di kawasan tali air berhampiran Kampung Permatang Pak Elong, Kepala Batas.
Penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada pihak polis sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihubungi bagi membantu mengangkat mayat mangsa. – UTUSAN











