MELAKA: Barisan Nasional (BN) Sabah belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung kerjasama dengan Pas di peringkat negeri, sebaliknya menunggu arahan lanjut daripada ibu pejabat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, tiada sebarang perbincangan rasmi antara kedua-dua parti setakat ini.
“Setakat ini memang belum ada apa-apa perbincangan, tetapi kita menunggu arahan daripada ibu pejabat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai yang menyaksikan saingan 11 penjuru.
Kejayaan Pesuruhjaya Pas Sabah itu melakar sejarah buat apabila Pas menang kali pertama di Sabah.
Mengulas gerak kerja jentera BN Sabah membantu kempen PRN Melaka, Jafry berkata, ramai petugas dihantar bagi membantu calon BN di kerusi DUN Duyong dan Telok Mas.
Katanya, jentera Sabah turut menggerakkan kempen dari rumah ke rumah, selain membantu mengenal pasti pengundi yang belum membuat keputusan, termasuk penyokong PN.
“Kita melihat sambutan masyarakat pelbagai kaum di Duyong dan Telok Mas semakin baik sejak jentera memulakan gerak kerja pada 29 hari bulan lalu.
“Kita juga bekerja keras dari rumah ke rumah bagi membantu jentera tempatan mengenal pasti pengundi hitam dan kelabu, khususnya dalam kalangan penyokong PN yang sebelum ini dikenal pasti sebagai pengundi hitam tetapi kini beralih kepada putih,” katanya. – UTUSAN










