Mengundi amanah besar tentukan hala tuju negeri, negara - Hadi

Mengundi amanah besar tentukan hala tuju negeri, negara – Hadi

ABDUL Hadi Awang disambut penyokong ketika tiba di Pentas Grand Finale PRN Melaka BN-PN di Dewan Mualim Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, Melaka malam tadi. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam dan seluruh pengundi di Melaka supaya tidak memandang ringan tanggungjawab keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, esok.

Menurutnya, tanggungjawab mengundi amat penting kerana pemilihan pemimpin merupakan satu amanah besar yang akan menentukan hala tuju negeri dan negara.

Beliau berkata, kewajipan politik untuk memilih pemimpin bukan sekadar urusan duniawi, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan amanah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang Islam mesti menunaikan kewajipan ini untuk memimpin manusia kerana dalam politik ada dosa dan pahala.

“Kalau kita buat main-main, tidak mahu mengundi atau tidak peduli mengundi, akhirnya orang lain akan memimpin dan menentukan urusan kita,” katanya ketika berucap di Pentas Grand Finale PRN Melaka Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) di Dewan Mualim Haji Abdul Wahid di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, Islam meletakkan politik dan pemilihan pemimpin sebagai satu amanah besar kerana manusia diciptakan bukan sahaja untuk mengabdikan diri kepada Allah tetapi turut memikul tanggungjawab sebagai khalifah yang menguruskan kehidupan di muka bumi.

Katanya, Allah turut memerintahkan supaya amanah diserahkan kepada mereka yang layak dan setiap urusan manusia dilaksanakan secara adil tanpa mengira agama atau bangsa.

“Politik adalah urusan mengatur dan mentadbir kehidupan manusia. Sebab itu, pemimpin yang dipilih mesti mampu melaksanakan amanah dan berlaku adil kepada seluruh rakyat.

“Apabila Islam memerintah, keadilan bukan hanya untuk orang Islam, tetapi untuk semua manusia,” katanya.

Beliau berkata, perpecahan hanya akan melemahkan kekuatan umat Islam dan masyarakat, manakala perpaduan mampu menjadikan pihak yang lemah kembali kuat.

Beliau menyeru penyokong Pas dan PN supaya memberikan sokongan kepada calon-calon gabungan BN-PN pada PRN Melaka manakala pengundi parti komponen turut menyokong calon rakan gabungan di kawasan masing-masing.

“Kita mesti bersatu untuk menyelamatkan negara. Jangan sampai berlaku semula perkara-perkara yang boleh merosakkan keharmonian dan hubungan antara kaum.

“Saya berharap semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari Sabtu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini