Solekan tebal yang mengubah penampilan wajah secara menyeluruh semakin kurang menjadi keutamaan apabila trend kecantikan kini beralih kepada gaya lebih natural, ringan dan kemas, namun tetap mampu menyerlahkan keistimewaan wajah.
Trend solekan kini menyaksikan keseimbangan antara kemasan kulit yang kelihatan sihat dengan solekan mata yang lebih menonjol, sekali gus menghasilkan penampilan segar tanpa perlu menggunakan terlalu banyak produk.
Jika tahun lalu dunia kecantikan banyak dipengaruhi solekan Douyin dari China dan gaya kecantikan Korea Selatan yang mengetengahkan kulit berkilau serta kemasan lembap, kini pendekatannya lebih bersifat sederhana dengan penekanan terhadap kecantikan semula jadi.
Jurusolek, Nadia Syafiqah Abdul Rahman berkata, solekan masa kini bukan lagi bertujuan mengubah wajah seseorang secara keseluruhan, sebaliknya membantu menyerlahkan ciri semula jadi melalui teknik yang lebih bersesuaian.
“Solekan sekarang lebih kepada menampakkan kulit, tetapi versi yang lebih cantik. Kulit kelihatan ringan, kemas dan sihat, manakala bahagian mata pula lebih ditonjolkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, untuk mendapatkan hasil solekan natural, wanita tidak semestinya perlu menggunakan banyak produk atau memilih warna yang terlalu menyerlah. Sebaliknya, teknik aplikasi, persediaan kulit dan pemilihan produk yang tepat memainkan peranan penting.

Persediaan kulit
Antara perkara paling penting untuk mendapatkan solekan natural adalah memastikan kulit berada dalam keadaan bersedia sebelum produk solekan diaplikasikan.
Nadia berkata, langkah persediaan kulit seperti penggunaan penyegar, serum dan pelembap mengikut jenis kulit membantu menghasilkan kemasan solekan yang lebih sekata.
Kulit yang terhidrat juga membantu mengelakkan solekan kelihatan terlalu kering, bercapuk atau merekah.
Pilih kemasan kulit yang ringan
Bagi yang mahukan penampilan natural, elakkan penggunaan produk asas secara berlebihan.
Solekan dewy yang menampilkan kulit segar, lembap dan berseri masih menjadi pilihan, khususnya bagi wanita yang mahukan wajah kelihatan sihat tanpa lapisan solekan terlalu tebal.
Teknik ini memberikan kemasan yang lebih semula jadi, terutama untuk majlis tertutup atau acara pada waktu siang.
Solekan mata
Walaupun konsep natural menjadi pilihan, ia tidak bermakna bahagian mata perlu dibiarkan tanpa sentuhan solekan.
Sebaliknya, solekan mata yang disesuaikan dengan bentuk mata masing-masing mampu memberikan perubahan ketara tanpa menjejaskan penampilan keseluruhan.
Nadia berkata, wanita yang mempunyai kelopak mata jatuh atau terlindung misalnya, sering mendapatkan teknik solekan yang dapat memberikan ilusi mata lebih terbuka dan terangkat.
Antara teknik yang digunakan termasuk pemilihan bulu mata bersesuaian, susunan pembayang mata serta penggunaan pita kelopak mata bagi mendapatkan bentuk yang diinginkan.
Gunakan warna senada
Satu lagi gaya yang boleh dicuba adalah solekan monochromatic atau penggunaan rona warna senada pada keseluruhan wajah.
Melalui teknik ini, warna pembayang mata, pemerah pipi dan pewarna bibir dipadankan dalam tona warna yang sama bagi menghasilkan penampilan lebih harmoni, ringkas dan elegan.
Pemilihan warna neutral atau rona lembut juga membantu mengekalkan konsep solekan natural tanpa menjadikan wajah kelihatan terlalu sarat.
Pilih produk mengikut keperluan
Selain teknik solekan, pemilihan produk juga perlu disesuaikan dengan jenis kulit dan keadaan sesuatu majlis.
Nadia menyarankan penggunaan palet pembayang mata berwarna neutral, highlighter untuk memberikan kesan berseri serta semburan setting spray bagi membantu mengekalkan solekan.
Bagaimanapun, pemilihan setting spray perlu mengambil kira kemasan yang diinginkan, sama ada jenis yang membantu mengawal kilauan untuk acara luar atau memberikan kesan dewy bagi majlis di dalam bangunan.
Dalam masa sama, solekan mesra wuduk turut mendapat perhatian wanita yang mengutamakan keselesaan dan kemudahan membersihkan wajah.
Menurut Nadia, pelanggan kini lebih cenderung memilih produk yang ringan, mudah dibersihkan dan tidak meninggalkan lapisan solekan yang terlalu tebal.
Jangan ikut trend membuta tuli
Pengaruh media sosial seperti TikTok, Instagram dan Pinterest turut menyumbang kepada perubahan cita rasa wanita terhadap solekan.
Tidak kurang pelanggan yang membawa gambar rujukan daripada platform berkenaan ketika mendapatkan khidmat jurusolek, khususnya untuk meniru gaya solekan yang sedang popular.
Bagaimanapun, Nadia berkata, setiap gaya perlu disesuaikan dengan struktur wajah, bentuk mata dan tona kulit seseorang kerana tidak semua trend memberikan hasil yang sama kepada setiap individu.
“Saya akan terangkan kepada pelanggan kenapa sesuatu gaya mungkin kurang sesuai dengan wajah mereka dan bagaimana ia boleh diubah suai. Apabila mereka faham, biasanya mereka lebih yakin dengan hasil akhir,” katanya.-UTUSAN











