Gangguan besar jejas Microsoft Outlook

Gangguan besar jejas Microsoft Outlook

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Perkhidmatan e-mel Microsoft Outlook mengalami gangguan besar di beberapa wilayah pada Khamis, menyebabkan puluhan ribu pengguna gagal mengakses akaun masing-masing ketika syarikat itu berusaha mengurangkan kesan gangguan berkenaan.

Microsoft mengesahkan gangguan berkenaan berpunca daripada peningkatan beban pada infrastruktur sistemnya di beberapa wilayah, sekali gus menyebabkan masalah sambungan kepada perkhidmatan berkenaan.

Pada mulanya, syarikat itu memaklumkan sedang menyiasat laporan gangguan yang melibatkan rantau Amerika sebelum mengesahkan masalah sama berkemungkinan menjejaskan akses Microsoft 365 di semua wilayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Microsoft berkata pihaknya sedang mengambil tindakan segera bagi mengurangkan kesan gangguan itu.

Gangguan berkenaan turut dilaporkan menjejaskan produk Microsoft yang lain, termasuk perkhidmatan Microsoft 365 yang merangkumi aplikasi Outlook dan Teams.

Menurut laman pemantauan gangguan perkhidmatan, Downdetector, hampir 130,000 pengguna melaporkan masalah pada Outlook sejurus selepas pukul 1 tengah hari waktu Timur (6 petang GMT).

Microsoft 365 merupakan perkhidmatan langganan berasaskan awan yang menyediakan akses kepada pelbagai aplikasi produktiviti keluaran syarikat itu.

Jumlah laporan gangguan itu bagaimanapun menunjukkan penurunan apabila kira-kira 50,000 pengguna masih melaporkan masalah akses kepada Outlook setakat pukul 4.30 petang waktu Timur (9.30 malam GMT).

Dalam kenyataan menerusi platform X, Microsoft berkata pihaknya mengenal pasti sebahagian infrastruktur sistem mengalami peningkatan beban di beberapa wilayah sehingga berkemungkinan menyebabkan masalah sambungan.

“Kami sedang mengambil segala langkah yang perlu bagi mengurangkan kesan gangguan ini,” menurut kenyataan itu.

Syarikat berkenaan turut menghentikan sementara semua pelaksanaan sistem baharu, mengalihkan sebahagian trafik daripada infrastruktur terjejas dan memulakan semula pelayan yang mengalami gangguan bagi memulihkan perkhidmatan.

Beberapa perkhidmatan Microsoft lain turut dilaporkan terjejas apabila ribuan pengguna mengadu mengalami masalah mengakses Teams dan pembantu kecerdasan buatan (AI), Copilot, menurut Downdetector.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini