DUNGUN: Harapan untuk menyaksikan kemunculan anak penyu belimbing di pantai Rantau Abang di sini selepas hampir sembilan tahun menanti, tidak kesampaian apabila kesemua 313 telur yang dihasilkan menerusi lima pendaratan di kawasan itu sejak September lalu gagal menetas.
Hasil pemeriksaan teknikal mendapati tiada satu pun daripada telur berkenaan menunjukkan tanda pembentukan embrio, sekali gus memberi petunjuk bahawa telur tersebut tidak disenyawakan.
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, pemeriksaan terakhir terhadap sarang kelima yang mengandungi 48 telur dan dihasilkan pada 10 Oktober lalu turut menunjukkan keputusan sama.
“Pemeriksaan yang dijalankan dengan bantuan pakar bertujuan mengenal pasti tahap perkembangan embrio serta menentukan potensi telur berkenaan untuk menetas.
“Keputusan pemeriksaan terhadap kelima-lima sarang menunjukkan tiada perkembangan embrio dan ini memberi petunjuk bahawa telur berkenaan tidak disenyawakan.
“Keadaan ini menyebabkan kemungkinan besar kesemua telur tersebut tidak akan menetas,” katanya ketika ditemui selepas pemeriksaan status perkembangan telur penyu belimbing di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang, di sini.
Menurutnya, keadaan itu dipercayai berpunca daripada ketiadaan penyu belimbing jantan di perairan Terengganu untuk proses persenyawaan.
Jelasnya, penyu betina perlu mengawan dengan penyu jantan sebelum menghasilkan telur yang berpotensi untuk menetas.
Bagaimanapun, tanpa proses persenyawaan, telur yang dihasilkan tidak akan mempunyai embrio untuk berkembang.
Mengulas mengenai lima pendaratan tersebut, Pang berkata, pihaknya percaya kesemuanya dilakukan oleh seekor penyu betina yang sama berdasarkan jarak masa antara pendaratan, iaitu sekitar 10 hingga 13 hari.
Katanya, penyu belimbing lazimnya mampu bertelur antara lima hingga lapan kali dalam satu musim sebelum kembali ke kawasan mencari makanan dan berkemungkinan datang semula untuk bertelur selepas dua hingga tiga tahun.
“Jika penyu betina itu masih hidup, kita berharap ia akan kembali mendarat di Rantau Abang sekitar 2029 atau 2030,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu menggambarkan betapa kritikalnya kelangsungan spesies penyu belimbing yang kini berdepan ancaman kepupusan di peringkat global.
Menurutnya, selepas hampir sembilan tahun tidak mendarat di Terengganu, kemunculan seekor penyu belimbing yang menghasilkan lima sarang pada tahun ini menjadi perkembangan penting dalam usaha konservasi spesies berkenaan.
Katanya, Jabatan Perikanan berharap usaha pemuliharaan yang dilaksanakan sejak 1953 dapat diteruskan bagi memastikan Rantau Abang kekal menjadi lokasi pendaratan penyu belimbing pada masa hadapan.-UTUSAN.









