Penyu agar, belimbing senasib?

Penyu agar, belimbing senasib?

BANGKAI penyu agar ditemukan di Pantai Kijal, Kemaman, Terengganu, baru-baru ini. - NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sekitar 50 dekad lalu, Pantai Rantau Abang di Dungun menjadi tumpuan pelancong antarabangsa kerana kehadiran penyu belimbing gergasi yang mendarat setiap kali musim bertelur. Penyu itu menjadi ikon Terengganu, menjadikan negeri ini unik sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Namun kerakusan manusia termasuk aktiviti pengambilan dan pemakanan telur penyu secara berleluasa, memusnahkan populasi reptilia marin ini dan spesies penyu belimbing di Rantau Abang diisytiharkan pupus secara fungsi pada 2008, dengan pendaratan terakhir direkodkan pada 2017.

Malangnya, telur dihasilkan ketika itu tidak menetas kerana tiada persenyawaan, menandakan ketiadaan penyu jantan.
Kini hanya dua spesies penyu yang masih bertelur di Terengganu, penyu agar dan penyu karah, namun ia juga berada dalam ancaman serius.

KEMATIAN PENYU
Sejak beberapa tahun ke­belakangan ini, semakin ba­nyak penyu agar, termasuk yang te­lah mencapai usia matang melebihi 20 tahun, ditemui mati terdampar di beberapa lokasi seperti Pantai Penunjuk, Pantai Kijal, Pantai Chakar Hutan di Kerteh, dan Pantai Teluk Batu di Kemasik.

Isu ini dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Ne­geri Terengganu, dengan gesaan supaya langkah segera diambil bagi memastikan pemuliharaan penyu lebih berkesan.

Pemajak pantai berpengalaman, Roslan Mohamad, 57, berkata, lebih 30 ekor penyu mati ditemui sejak Januari tahun lalu di kawasan pantai yang dikendalikannya.

PUKAT PARI
Roslan yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai pemajak pantai berkata, antara punca utama menyumbang kematian penyu adalah penggunaan pukat pari oleh nelayan yang beberapa kali ditemukannya berhampiran pantai.

Walaupun larangan dikuatkuasakan di bawah Akta Perikanan 1985, penggunaan alat tersebut masih berleluasa.

“Apabila pukat pari dipasang merentangi kawasan pantai, penyu yang mahu naik bertelur di pantai tersangkut pada pukat, menyebabkan ia tidak boleh melepaskan diri dan mati,” katanya.

Roslan turut mendedahkan nelayan biasanya memasang pukat secara sembunyi ketika gelap, lalu meninggalkannya hingga keesokan hari.

“Walaupun peraturan mela­rang penggunaan pukat dengan saiz mata melebihi 10 inci, pe­nguatkuasaan perlu lebih tegas untuk melindungi penyu.

“Difahamkan, nelayan tidak boleh menggunakan pukat pari mata lebihi 10 inci, namun bagi saya penggunaan pukat ini perlu diharamkan secara total terutama ketika musim penyu bertelur April hingga September,” katanya.

Mengikut Peraturan-Peraturan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980, Seksyen 25 Akta Perikanan 1985, mereka yang didapati bersalah menggunakan pukat pari dan peralatan yang tidak dibenarkan, boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

FAKTOR LAIN PENYU MATI
Selain pukat pari, penyu turut terancam akibat terjerat pada pukat nelayan di tengah laut dan pelanggaran oleh kipas bot. Terdapat juga kes penyu mati akibat memakan plastik.

Antara penyumbang utama kematian ini ialah kegagalan nelayan menggunakan Turtle Excluder Device (TED), iaitu peranti penyisih penyu yang membolehkan haiwan tersebut keluar dari pukat semasa ditangkap secara tidak sengaja. Kos tinggi menjadi alasan me­ngapa sesetengah nelayan enggan menggunakannya.

“Sebahagian penyu yang mati mempunyai kesan jerutan di leher, tetakan di belakang cengkerang dan kecederaan serius lain, berkemungkinan berpunca daripada tindakan nelayan yang cuba membebaskan penyu dari pukat dengan cara yang kasar,” katanya.

KRISIS PENYU JANTAN
Pengurus Projek Pemuliharaan Penyu di Pantai Chakar Hutan, Kerteh, dari Persatuan Pemuliharaan dan Kajian Marin Malaysia (PULIHARA), Wan Zuriana Wan Sulaiman berkata, kematian penyu jantan menjadi kebimbangan utama.

Mac lalu tiga penyu agar jantan dewasa ditemukan mati dalam tempoh kurang 36 jam dan situasi berkenaan menjejaskan kadar persenyawaan telur kerana tanpa kehadiran penyu jantan yang subur, telur tidak akan menetas meskipun penyu betina terus bertelur.

“Inilah yang berlaku terhadap penyu belimbing di Terengganu, di mana ketiadaan jantan menyumbang kepada kepupusan fungsinya,” katanya.

HAKISAN PANTAI
Faktor semula jadi seperti hakisan pantai turut menyumbang kepada kemerosotan habitat penyu.

Setiap musim tengkujuh menyaksikan pantai menjadi semakin sempit, menjejaskan lokasi pendaratan penyu.

Tahun lalu, seekor penyu ditemukan mati selepas tertimbus oleh tebing pasir hasil ha­kisan pantai.

Tambak batu dan benteng pemecah ombak juga dibimbangi merosakkan lagi habitat pendaratan semula jadi penyu.

USAHA MEMULIHARA
Wan Zuriana berkata, usaha memulihara mamalia marin ini bukan hanya menjadi tanggungjawab pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan, malah perlu menjadi tanggungjawab semua pihak.

Kesedaran mengenai ke­pentingan kelangsungan penyu ini perlu dititikberatkan terutama dalam komuniti ne­layan selain menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengadakan program kesedaran bagi mendidik orang ramai sejak di bangku sekolah mengenai kepentingan memastikan kelangsungan hidup penyu.

“Kalau dahulu, telur penyu dijual dan dimakan secara berleluasa, namun sejak kerajaan negeri mewartakan larangan penjualan telur, kesedaran orang ramai mulai timbul,” katanya.

Selain melakukan usaha pemuliharaan di Pantai Chakar Hutan, PULIHARA turut memantau penyu di Pantai Lang Tengah dan Pantai Tanjung Jara di Dungun.

“Pada musim penyu bertelur, setiap malam kami membuat rondaan kawasan pantai dan memindahkan telur penyu ke pusat penetasan.
“Semua ini bagi memastikan penyu agar dan penyu karah yang tersenarai sebagai sangat terancam, tidak ditimpa nasib yang sama seperti penyu belimbing yang sudah pupus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN