WASHINGTON: SpaceX sekali lagi melancarkan muatan ketenteraan sulit ke orbit menggunakan roket Falcon 9 untuk Angkatan Angkasa Amerika Syarikat (AS), ketika syarikat itu melaksanakan misi kedua yang dirahsiakan dalam tempoh enam hari.
Roket berkenaan dilancarkan dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg, California pada pukul 8.36 malam (waktu tempatan) Rabu bagi memulakan misi USSF-627 dari Kompleks Pelancaran Angkasa 4 Timur.
SpaceX dan Angkatan Angkasa AS tidak mendedahkan jenis muatan yang dibawa roket itu atau tujuan misi berkenaan, sekali gus merahsiakan butiran operasi ketenteraan tersebut.
Pelancaran itu dilakukan kurang seminggu selepas sebuah lagi roket Falcon 9 berlepas dari pangkalan sama pada 6 November bagi melaksanakan misi sulit USSF-432.
Dua pelancaran berturut-turut itu mengukuhkan lagi peranan SpaceX dalam menghantar muatan keselamatan negara untuk kegunaan tentera AS.
Walaupun jenis muatan masih dirahsiakan, beberapa pakar membuat spekulasi, USSF-627 dan misi sebelumnya mungkin melibatkan penghantaran beberapa kumpulan satelit Starshield yang dibangunkan SpaceX untuk operasi ketenteraan dan risikan.
Satelit berkenaan dipercayai menyokong portfolio Pengesanan dan Penyasaran Berasaskan Angkasa Angkatan Angkasa AS, yang membantu pihak tentera mengesan sasaran berpotensi di seluruh dunia.
Bagaimanapun, SpaceX mahupun Angkatan Angkasa AS tidak pernah mengaitkan secara terbuka kedua-dua misi itu dengan program Starshield.
SpaceX turut menamatkan siaran langsung kedua-dua pelancaran lebih awal, sejurus selepas peringkat pertama roket Falcon 9 kembali ke bumi, menyebabkan penonton tidak mendapat maklumat lanjut mengenai misi berkenaan.
USSF-627 merupakan pelancaran Falcon 9 yang ke-120 sepanjang 2026 dan misi keselamatan negara yang ke-15 bagi tahun ini.
Sebanyak 85 daripada pelancaran itu membabitkan satelit Starlink, sekali gus memperluas rangkaian satelit di orbit rendah bumi yang kini melebihi 11,000 unit.
Bagaimanapun, jumlah pelancaran Falcon 9 tahun ini masih ketinggalan berbanding tahun lalu apabila roket itu melaksanakan 165 misi, termasuk 122 pelancaran satelit Starlink.-AGENSI











