WASHINGTON: Roket gergasi milik syarikat SpaceX, Starship meletup sejurus terhempas di Lautan Pasifik selepas berjaya mencapai orbit buat julung kalinya semalam.
Roket tanpa anak kapal itu dilancarkan sekitar jam 8.46 pagi waktu tempatan dari kompleks Starbase milik SpaceX yang terletak di Teluk Mexico, berhampiran Brownsville dan dijadualkan mengelilingi Bumi selama 10 jam.
Bagaimanapun, SpaceX terpaksa memendekkan tempoh penerbangan Starship selepas salah satu enjinnya mati secara tiba-tiba ketika sedang menuju ke orbit.
Rakaman video menunjukkan roket setinggi 40 tingkat itu berpusing bagi membuat pendaratan perlahan di permukaan laut pada jam 11.58 pagi waktu tempatan.
Roket itu kemudian meletup dan menghasilkan bola api gergasi beberapa saat selepas menyentuh permukaan lautan.
SpaceX ialah syarikat milik bilionair Amerika Syarikat (AS), Elon Musk.
Jurucakap SpaceX, Dan Huot berkata: “Seperti yang anda dapat lihat, ia bukan pendaratan ‘lembut’ di lautan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Namun, Starship tetap berada di dalam laut,” katanya.
Meskipun pasukan SpaceX tidak mengesahkan letupan tersebut secara rasmi, kamera di pesisir pantai berjaya merakam momen pendorong roket berkenaan meletup.
Sebahagian pihak menganggap misi tersebut sebagai kegagalan sepenuhnya.
Bagaimanapun, objektif utama pelancaran adalah untuk menghantar roket gergasi itu ke orbit yang telah dicapai. – AGENSI











