PARAJ: Seorang ahli perniagaan di daerah Purba Bardhaman melunaskan janjinya dengan menghadiahkan sebuah kereta sukan mewah model BMW M4 Competition kepada anak lelakinya yang baru berusia 15 tahun.
Hadiah itu diberikan oleh Shamsuddin Midya kepada anaknya, Mohammad Talha sebagai ganjaran selepas pelajar tingkatan tiga berkenaan mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun.
Talha dijanjikan untuk memiliki kereta idamannya itu sekiranya dia berupaya memperoleh keputusan peperiksaan yang membanggakan.
Sebaik sahaja keputusan diumumkan, Shamsuddin memulakan perjalanan ke sebuah bilik pameran kenderaan mewah di Andheri, Mumbai bagi menguruskan pembelian kereta mewah berkenaan secara rasmi.
Kenderaan berkuasa tinggi terbabit dihantar khas dari Mumbai ke kampung halaman mereka di Paraj menerusi kontena tertutup sebelum selamat tiba pada Jumaat lalu.
Ketibaan jentera mewah berkenaan menarik perhatian penduduk setempat yang berhimpun untuk menyaksikan secara dekat kenderaan sukan yang jarang ditemui di kawasan luar bandar terbabit.
Tindakan pemberian ganjaran itu bagaimanapun mencetuskan perbincangan hangat di media sosial, di mana sebahagian warganet memuji dorongan bapa berkenaan manakala sebahagian lagi mempertikaikan kewajaran pemberian kenderaan berkuasa tinggi kepada remaja bawah umur.
Dari sudut spesifikasi, BMW M4 Competition merupakan antara model coupe sukan paling berkuasa yang dilengkapi enjin 3.0 liter twin-turbo enam silinder, menjana 530 kuasa kuda serta tork puncak 650 Nm.
Jentera transmisi automatik lapan kelajuan dengan sistem pacuan semua roda itu berkeupayaan memecut dari 0 ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 3.5 saat sahaja, dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.
Model terbabit turut dilengkapi kemasan gentian karbon pada bahagian bonet, pemisah hadapan dan peresap belakang, selain menampilkan kerusi karbon M di bahagian dalaman kabin.
Pemilikan baharu ini melengkapkan lagi koleksi kenderaan mewah milik Shamsuddin yang sebelum ini sudah pun memiliki pelbagai model eksklusif termasuk Range Rover Autobiography, Volvo XC90 dan Mercedes-Benz C-Class. -AGENSI











