Banjir: Kereta mewah dipandu saksi nikah terkandas

Banjir: Kereta mewah dipandu saksi nikah terkandas

Kereta mewah
KERETA mewah Ford Mustang GT ditarik oleh sebuah traktor bagi meredah banjir yang menenggelamkan sebahagian hampir 1km Jalan Sungai Panjang - Tanjung Malim berhampiran Kampung RTB 2, di Sabak Bernam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seorang bapa saudara terpaksa melupakan hasrat untuk menjadi saksi pernikahan anak buahnya selepas terperangkap hampir lima jam dalam banjir bersama kereta mewahnya di Jalan Sungai Panjang – Tanjung Malim, di sini, hari ini.

Menurut abangnya yang mahu dikenali sebagai Manan, 56, adiknya itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kampung Gajah, Perak sejak pukul 11 pagi sebelum kereta jenis Ford Mustang GT dinaiki bersama ahli keluarganya itu terkandas kira-kira tiga kilometer dari Kampung Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) 2.

“Kemudian kira-kira pukul 2 petang tadi, selepas solat Jumaat dia telefon dan beritahu terkandas di kawasan berkenaan sedangkan patut sampai awal untuk hadir majlis pernikahan pada pukul 5 petang.

“Saya terus bergegas dari rumah untuk membantu. Tetapi tak dapat sebab banjir terlalu dalam sementara pacuan empat roda yang saya gunakan pula tak cukup tinggi untuk meredahnya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun, akhirnya adiknya itu dapat diselamatkan dengan bantuan sebuah traktor milik penduduk kampung berdekatan dengan menundanya sejauh kira-kira tiga kilometer (km).

Tinjauan Utusan Malaysia di jalan berkenaan mendapati berlaku limpahan air dari Sungai Bernam sehingga menyebabkan laluan terputus sepanjang hampir 1km.

Seorang penduduk, Maseri Mat Di, 55, berkata, terdapat ban pecah di bahagian kuala sungai berkenaan yang sudah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Namun, ia dimasuki air susulan paras sungai meningkat akibat hujan berterusan dan lebat sejak kelmarin yang turut mengakibatkan beberapa rumah di kampung berdekatan dilanda banjir.

“Ada ban pecah di Seri Keledang dan air melimpah masuk menyebabkan jalan di sini banjir lalu terputus, tak boleh dilalui oleh kenderaan ringan termasuk van serta lori kecil.

“Saya pun hampir seminggu tak dapat memancing di Sungai Bernam kerana hujan dan banjir. ‘Port’ memancing dan sebahagian besar ladang sawit di sini turut dilimpahi air sedalam lebih satu meter,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN