KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor merampas 14 kereta mewah pelbagai jenama dari dua negara dalam pemeriksaan terhadap sebuah gudang berlesen di Shah Alam, pada bulan lalu.
Kereta mewah yang dirampas terdiri daripada jenama Mini (Cooper) , Mercedes Benz (C200 dan GLA35) dan Maybach (S680), Porsche (911 GT3 RS), Toyota (Harrier dan Alphard), Lexus (NX300 dan RX300) dan Suzuki (Jimny).
Pengarahnya, Mohamad Azhar AHmad Paharazi berkata, kesemua kereta dirampas itu bernilai RM1.34 juta dan cukai berjumlah RM2.01 juta dipercayai simpan melebihi tempoh 48 bulan akibat gagal dijual.
“Pemeriksaan dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor pada 9 September lalu dan mendapati 14 kenderaan import berkenaan belum dijelaskan cukai berada di dalam gudang tersebut.
“Tindakan sitaan diambil. Nilai bagi kesemua unit termasuk cukai berjumlah RM3.349 juta,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata kes berkenaan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda 10 hingga 20 kali ganda dilai barangan atau RM100,000 sehingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi, penjara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam kes berasingan, Mohamad Azhar memaklumkan pihaknya turut merampas tiga palet minuman keras di dalam kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat, di sini pada awal bulan ini.
Keseluruhan 1,314 liter whisky itu dipercayai tidak mempunyai permit import dan nilai dagangannya dianggarkan RM105,120 dan cukai berjumlah RM181,069.
“Pengimportan minuman keras adalah tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam sebagaimana digariskan dalam Butiran 67, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Siasatan awal mendapati dagangan tersebut masuk ke Pelabuhan Klang pada 14 September lalu dari Eropah. Kes masih dalam siasatan,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) akta sama dan juga membawa hukuman denda dan penjara yang sama. – UTUSAN










