Kastam Selangor sita tiga kereta mewah, dua EV

Kastam Selangor sita tiga kereta mewah, dua EV

Kereta mewah
MOHAMAD Azhar Ahmad Paharazi melihat ruang dalam bahagian pemandu sebuah Porsche 911 Turbo S pada sidang akhbar dekat pejabat JDKM Selangor Pelabuhan Utara, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lima kenderaan termasuk dua elektrik (EV) dan tiga kereta mewah disita menerusi dua siri serbuan dalam Operasi Fortex Trident pada 17 dan 25 Oktober di sekitar Pelabuhan Klang serta Gudang Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, tiga kenderaan mewah yang disita itu merupakan kereta terpakai, sementara kereta elektrik pula model baharu.

Katanya, kesemua kereta yang dirampas iaitu sebuah BMW 420i, Porsche 911 Turbo S, Toyota GranAce Premium dan dua EV Forthing Friday bernilai RM1.017 juta termasuk cukai dipercayai dibawa masuk dari negara-negara pengeluar masing-masing.

“Siasatan awal mendapati kereta mewah tersebut melebihi tempoh penyimpanan yang dibenarkan antara dua hingga tiga bulan di dalam gudang berlesen. Malah, cukai yang kena bayar juga gagal dijelaskan.

“Sementara EV pula didapati dibawa masuk tanpa permit import yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) seperti dalam Butiran 3, Bahagian 1, Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Kesemuanya dibawa masuk ke negara ini atas nama dua syarikat. JKDM juga sudahpun mendapatkan keterangan daripada wakil kedua-dua syarikat berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Tambahnya, kesemua kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a) AKta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan.

“Sabit kesalahan, mahkamah boleh menjatuhkan denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau penjara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN