PETALING JAYA: Pengeluar bahan logam Jepun, Mitsui Kinzoku Co Ltd, merancang melabur sehingga RM4.87 bilion bagi membina kilang pembuatan kerajang tembaga baharu di Shah Alam, Selangor, bagi memenuhi peningkatan permintaan daripada industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Pelaburan berskala besar itu dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global semikonduktor, khususnya bagi pengeluaran bahan berteknologi tinggi yang digunakan dalam pembungkusan cip dan papan litar elektronik.
Kemudahan baharu itu akan dibangunkan berhampiran anak syarikatnya, Mitsui Copper Foil (Malaysia) Sdn Bhd, yang telah beroperasi di Shah Alam sejak 1991.
Kilang berkenaan akan mengeluarkan kerajang tembaga ultra nipis MicroThin yang disokong pembawa serta kerajang tembaga jenis elektroenapan VSP, masing-masing untuk kegunaan pembungkusan semikonduktor dan papan litar frekuensi tinggi.
Operasi kemudahan itu dijadualkan bermula secara berperingkat mulai April 2031.
Menurut syarikat itu, keputusan membina kilang baharu di Malaysia dibuat bagi memastikan bekalan produk kerajang tembaga kepada pelanggan kekal stabil dan berterusan, susulan jangkaan pertumbuhan pesat pasaran AI dan semikonduktor.
“Daripada jumlah pelaburan RM4.87 bilion itu, kira-kira RM3.69 bilion diperuntukkan bagi pembelian peralatan pengeluaran dan aset lain, manakala RM360 juta untuk pengambilan tanah serta RM82 juta bagi pembinaan bangunan.
“Pelaburan itu akan dibiayai menerusi gabungan tunai sedia ada, pinjaman dan sumber pembiayaan lain,” menurut kenyataan.
Kemudahan baharu berkenaan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran MicroThin sebanyak dua juta meter persegi sebulan menjelang tahun kewangan 2031, sebelum ditambah lagi dua juta meter persegi sebulan menjelang tahun kewangan 2033.
Bagi produk kerajang tembaga VSP pula, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat sebanyak 600 tan sebulan masing-masing pada tahun kewangan 2031 dan 2032, sekali gus menjadikan jumlah kapasiti pengeluaran syarikat sebanyak 2,600 tan sebulan.
Mitsui Kinzoku berkata, tapak baharu itu mempunyai potensi untuk menampung kapasiti pengeluaran sehingga 3,600 tan sebulan.
“Syarikat turut mempertimbangkan peningkatan kapasiti pengeluaran gabungan VSP di kilang baharu dan sedia ada kepada 5,000 tan sebulan, sejajar dengan perkembangan permintaan pasaran.
“Pengembangan itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Mitsui Kinzoku untuk memperkukuh perniagaan kerajang tembaga di bawah segmen bahan kejuruteraan,” katanya.
Syarikat turut menyasarkan keuntungan operasi daripada perniagaan kerajang tembaga meningkat 3.2 kali ganda berbanding paras tahun kewangan 2025 menjelang tahun kewangan 2030, sebelum meningkat kepada 5.5 kali ganda menjelang tahun kewangan 2033.
Peningkatan keuntungan itu dijangka disokong pelaburan yang dirancang sehingga tahun kewangan 2030 serta pengembangan kapasiti pengeluaran menerusi projek baharu di Malaysia. – UTUSAN











