PETALING JAYA: Semua aktiviti berkelah dan perkhemahan di kawasan berbukit dan air terjun perlu dihentikan segera susulan peningkatan risiko kejadian kepala air dan cuaca tidak menentu yang boleh mengancam keselamatan pengunjung.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 1,577 cerun di seluruh negara dikenal pasti masih berada pada tahap kritikal manakala 201 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko kejadian kepala air.
Katanya, keadaan itu membimbangkan berikutan permulaan Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat dan berpotensi mencetuskan kejadian tanah runtuh, kepala air serta peningkatan paras air sungai.
Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan berisiko, terutama ketika hujan atau selepas hujan berikutan kepala air boleh berlaku dalam tempoh singkat tanpa sebarang petanda awal.
“Kejadian itu boleh berlaku meskipun hujan tidak turun di kawasan pengunjung berada kerana hujan lebat di kawasan hulu sungai berupaya menyebabkan peningkatan paras air secara tiba-tiba.
“Malah terdapat kejadian lemas yang mengakibatkan kematian berganda apabila individu yang cuba menyelamatkan mangsa turut lemas akibat panik atau tidak mempunyai kemahiran berenang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nor Hisham berkata, penghujung tahun lazimnya menyaksikan peningkatan kes lemas berikutan orang ramai masih melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air meskipun negara sedang berdepan Monsun Timur Laut.
Katanya, sebanyak 534 kes lemas yang direkodkan sepanjang tempoh dua tahun Monsun Timur Laut.
“Sebanyak 270 kes direkodkan pada 2025, manakala 264 kes lagi dicatatkan bagi tempoh 1 Januari hingga 9 November tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 266 kematian direkodkan pada 2025 dengan 90 mangsa berjaya diselamatkan, selain lapan kes kecederaan.
“Bagi tempoh 1 Januari hingga 9 November tahun ini pula, sebanyak 207 kematian direkodkan dengan 86 mangsa terselamat dan tiga kes kecederaan dilaporkan,” katanya.
Selain itu katanya, orang ramai turut dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan berisiko seperti lombong tinggal, tasik buatan, lombong pasir dan tali air kerana lokasi berkenaan tidak sesuai dijadikan tempat rekreasi.
“Kawasan berkenaan berbahaya berikutan keadaan tebing yang licin, dasar berlumpur tebal yang boleh memerangkap kaki serta kedalaman air yang berpotensi berubah secara mendadak.
“Menjauhi kawasan berisiko merupakan langkah paling selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, terutama sepanjang musim Monsun Timur Laut,” katanya.
Mengulas tindakan menyelamatkan mangsa lemas, Nor Hisham menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru terjun ke dalam sungai sekiranya tidak mempunyai kemahiran serta latihan menyelamat di air.
Sebaliknya, orang ramai disarankan menggunakan teknik Reach and Throw atau hulur dan lempar dengan menghulurkan kayu panjang, dahan atau tali supaya mangsa dapat berpaut.
“Pelampung, tong air kosong atau botol plastik besar yang diikat dengan tali juga boleh digunakan sebagai alat bantuan sementara bagi membolehkan mangsa berpaut sementara menunggu bantuan tiba,” katanya.
Beliau menambah, masyarakat juga perlu mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan yang dipaparkan melalui papan tanda amaran termasuk papan tanda ‘Kawasan Larangan’ atau ‘Berbahaya’ serta bendera merah di kawasan pantai.
Pada masa sama, pemakaian jaket keselamatan atau life jacket perlu dijadikan amalan setiap kali melakukan aktiviti sukan air atau menaiki bot.
“Jaket keselamatan yang digunakan hendaklah diiktiraf, mempunyai saiz bersesuaian dengan pemakai dan dikancing dengan betul bagi memastikan perlindungan yang optimum termasuk kepada kanak-kanak.
“Orang ramai juga perlu sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan menghentikan serta-merta sebarang aktiviti air sekiranya hujan mula turun, guruh berdentum atau angin bertiup kencang,” katanya. – UTUSAN











