BERLIN: Canselor Jerman, Friedrich Merz mengancam untuk menyekat bajet Kesatuan Eropah (EU) bagi tempoh tujuh tahun akan datang melainkan semua negara anggota bersetuju menambah bantuan kewangan kepada Ukraine.
EU berjanji menampung kira-kira 45 bilion euro (RM204.7 bilion) daripada kekurangan pembiayaan Ukraine yang diunjurkan mencecah 70 bilion euro (RM318.56 bilion) pada 2027, ketika konflik dengan Russia menghampiri tahun kelima pada Februari depan.
Bagaimanapun, Hungary, Slovakia dan Republik Czech menyatakan bantahan terhadap sumbangan tambahan bagi bantuan kewangan kepada Kyiv, manakala Bulgaria dijangka mengambil pendirian sama.
“Bantuan dua hala kepada Ukraine diagihkan secara tidak seimbang dan sebahagian besarnya ditanggung oleh hanya beberapa negara anggota,” tulis Merz dalam surat kepada Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa menurut Bloomberg.
Canselor itu dilaporkan berhujah sokongan kepada Ukraine merupakan perkara berkaitan keselamatan Eropah yang tidak boleh dipisahkan.
“Komitmen bersama kita semua tanpa pengecualian akan menyumbang secara adil bagi menampung kekurangan ini merupakan prasyarat penting untuk menyelesaikan isu berkenaan dan membincangkan perkara lain selepas ini, khususnya yang mempunyai implikasi kewangan,” tulis Merz, menurut laporan Euronews.
Beliau turut menggesa supaya satu rangka pembiayaan yang kukuh dan merangkumi beberapa tahun untuk Ukraine mulai 2028, termasuk liabiliti pembayaran faedah yang telah terkumpul diwujudkan.
Hungary, Slovakia dan Republik Czech sebelum ini memperoleh pengecualian daripada tanggungan kewangan, termasuk pembayaran faedah, bagi pinjaman 90 bilion euro (RM409.5 bilion) kepada Ukraine yang dipersetujui EU pada Disember 2025.
Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico bulan lalu memberi amaran mengaitkan pembiayaan Ukraine dengan rundingan bajet jangka panjang EU yang seterusnya boleh membawa kesan berbahaya.
Beliau turut berhujah pembiayaan perang hanya akan memanjangkan pertempuran dan bukannya membawa keamanan.
Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis turut berpendapat dana untuk Kyiv tidak sepatutnya dimasukkan dalam rangka kewangan berbilang tahun, ketika negara anggota sendiri tidak mempunyai wang yang mencukupi.
Semalam, wakil perunding Ukraine, Russia dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan rundingan di Abu Dhabi pada Selasa bagi mencari jalan menamatkan konflik paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, dalam pertemuan seumpama itu yang pertama selepas lebih sembilan bulan.
Eropah dan Ukraine bimbang AS akan memaksa Kyiv menerima perjanjian yang pada hakikatnya menyamai penyerahan kalah, ketika Presiden AS, Donald Trump dilihat semakin cenderung kepada Moscow tahun ini.
Minggu lalu, Trump menyatakan kemungkinan mencapai perjanjian besar berhubung perang itu yang akan melibatkan seluruh Eropah, sekali gus mencetuskan kebimbangan Washington akan bekerjasama dengan Moscow untuk membentuk semula kerangka keselamatan baharu di Eropah.











