Hikayat Fandom memupuk generasi baharu tukang cerita, meneruskan warisan hikayat, cerita rakyat

Hikayat Fandom memupuk generasi baharu tukang cerita, meneruskan warisan hikayat, cerita rakyat

Pada 30 Oktober 2026, Hikayat Fandom bersama Kedutaan Ireland dan Persatuan Sastera Lisan Negara (PERSALINA) mempersembahkan An Irish Storytelling with Colin Urwin di Grey Box.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hikayat Fandom berjaya menganjurkan bengkel sulung Hikayat Storyteller Guild (HSG) dari 24 hingga 26 Oktober 2026 di Chow Kit Hotel, Kuala Lumpur, bagi memupuk generasi baharu tukang cerita yang mampu menghidupkan hikayat dan cerita rakyat serta mendekatkan masyarakat dengan warisan ini.

Disokong ArtsFAS, Yayasan Hasanah, bengkel tiga hari dua malam ini menghimpunkan tujuh finalis yang membentuk kumpulan perintis HSG. Berusia antara 20 hingga 35 tahun, mereka dipilih susulan sambutan menggalakkan terhadap permohonan penyertaan yang dibuka pada Ogos lalu.

Para peserta dari Pulau Pinang, Johor, Pahang, Kuala Lumpur, komuniti Orang Asal dan Sabah dibimbing oleh tiga penggiat seni penceritaan berpengalaman, iaitu Cikgu Ean, Ummi Sham atau Samsul Khamariah Hamzah, serta tukang cerita antarabangsa Johnny Gillett aka The Journey Man. Bimbingan mereka membantu para peserta menemukan cara tersendiri sebagai tukang cerita, membina keyakinan dan menyampaikan kisah dengan penghayatan yang menyentuh hati khalayak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengasas Hikayat Fandom, Ninot Aziz berkata, “Bengkel HSG ini mewujudkan kesinambungan tradisi bercerita dengan menghubungkan tukang cerita berpengalaman dan bakat baharu melalui perkongsian ilmu, kemahiran serta kreativiti. Usaha ini memastikan warisan penceritaan kita terus berkembang dan memikat khalayak masa kini.”

Selain mengasah bakat sebagai tukang cerita, kemahiran berinteraksi dengan khalayak dan penggunaan pentas, para peserta turut mempelajari teknik mengolah semula hikayat dan cerita rakyat dalam bentuk penulisan. Empat belas cerita hasil penulisan mereka akan diterbitkan dalam antologi dwi-bahasa berjudul HIKAYAT LORE / Ancient Stories in New Voices (HSG 2.0 Emerging Storytellers), sekali gus menghubungkan latihan bercerita dengan penulisan dan pemeliharaan warisan. Buku ini bakal diterbitkan Hikayat Fandom pada penghujung tahun ini.

Hikayat dan cerita rakyat sarat dengan kearifan tempatan, nilai masyarakat dan memori kolektif yang diwariskan turun-temurun. Latihan untuk tukang cerita baharu membuka ruang agar khazanah ini terus didengar, dibaca dan dihargai, sekali gus memperkukuh jati diri budaya serta rasa bangga terhadap warisan kita.

Bengkel HSG turut menyediakan ruang untuk para peserta meneroka kreativiti, bertukar pengalaman dan menjalin persahabatan melalui cerita. Dengan memahami kisah yang disampaikan serta menemukan pendekatan tersendiri untuk berkongsinya, para peserta dapat mengetengahkan tradisi lisan kepada khalayak masa kini secara menarik dan bermakna.

Bengkel ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Hikayat Fandom untuk memartabatkan hikayat, warisan dan sejarah sebagai sumber ilmu serta inspirasi. Kumpulan perintis ini diharapkan dapat memperluas kegiatan bercerita dalam komuniti, di sekolah, tempat kerja dan ruang kebudayaan, agar warisan lisan terus berkembang bersama generasi baharu.

Pada 30 Oktober 2026, Hikayat Fandom bersama Kedutaan Ireland dan Persatuan Sastera Lisan Negara (PERSALINA) mempersembahkan An Irish Storytelling with Colin Urwin di Grey Box GMBB, dari pukul 4.00ptg ke 6.00ptg.

Hikayat Fandom merakamkan penghargaan kepada ArtsFAS, Yayasan Hasanah, para pembimbing seni bercerita serta semua pihak yang menyokong usaha memelihara dan menyemarakkan tradisi penceritaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini