Minat kaligrafi jadi sumber pendapatan suri rumah

Minat kaligrafi jadi sumber pendapatan suri rumah

JENIS tulisan yang mampu dihasilkan Umi Humaira Akmal di Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Bermula sebagai usaha mengawal kemurungan, minat seorang suri rumah, Umi Humaira Akmal, 41, terhadap seni tulisan tangan kini berkembang menjadi sumber pendapatan menerusi penghasilan kaligrafi dan penulisan sijil.

Selepas tujuh tahun belajar secara kendiri, ibu kepada enam cahaya mata itu kini mahir menghasilkan tulisan dalam 12 jenis font, termasuk brush pen dan copperplate yang mendapat permintaan pelanggan.

Umi Humaira berkata, penglibatannya dalam bidang seni bermula pada 2016 apabila dia mencari kaedah mengawal kemurungan yang dialami sejak zaman persekolahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pada awalnya dia memilih aktiviti melukis doodle sebagai medium menyalurkan emosi sebelum mula meneroka seni tulisan tangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya belajar sendiri dengan merujuk Pinterest, Instagram dan YouTube. Saya terus mencuba sehingga berani mempamerkan hasil kerja di TikTok pada 2022.

“Pada mulanya, saya menghasilkan tulisan nama secara percuma mengikut permintaan pengguna media sosial selama kira-kira dua tahun sebelum mula mengenakan bayaran pada 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, peluang menerima tempahan sijil bermula apabila guru tadika anak perempuannya meminta bantuan menulis sijil selepas beberapa percubaan mencetaknya tidak berjaya.

Pengalaman itu membuka ruang kepadanya menjadikan kemahiran tersebut perkhidmatan berbayar dengan caj RM2 sekeping pada peringkat awal.

Bagaimanapun, kadar semasa bagi tempahan antara satu hingga 10 sijil menggunakan brush pen ialah RM8 sekeping, manakala tulisan copperplate bermula RM15.

“Apabila menulis sijil, saya tidak buat draf atau menggunakan pensel terlebih dahulu kerana sudah biasa mengagak ruang dan panjang tulisan. Saya juga tidak suka memadam kerana sebarang kesilapan perlu ditanggung sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini