ALIAGA: Seramai 17 orang maut manakala 13 lagi cedera dalam letupan di sebuah kilang keluli di barat Turkiye semalam, mencetuskan kemarahan pekerja berhubung isu keselamatan tempat kerja, ketika Presiden, Recep Tayyip Erdogan berikrar mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Letupan berlaku pada tengah hari (waktu tempatan) di kilang keluli HABAS, kira-kira 60 kilometer di utara bandar pelabuhan Izmir, menurut pegawai.
Erdogan berkata, punca kejadian, termasuk bagaimana dan mengapa ia berlaku, sama ada terdapat unsur kecuaian serta pihak yang bertanggungjawab akan dikenal pasti.
Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan kepulan asap tebal menjulang ke udara ketika api marak membakar sebuah struktur tinggi di dalam kawasan kilang HABAS Demir Celik di Aliaga.
Gabenor Izmir, Suleyman Elban berkata, letupan berlaku ketika kerja-kerja penggantian sistem pemanas dijalankan apabila sebuah kren runtuh ke dalam relau industri besar yang digunakan dalam proses penuangan keluli cair.
Seorang pekerja berusia 52 tahun, Yasin Cetiner memberitahu AFP, kren itu terjatuh selepas mengangkat sebuah bekas besar berisi keluli cair.
“Tali kren itu putus dan menyebabkan kira-kira 120 tan keluli cair masuk ke dalam relau. Oleh sebab terdapat panel penyejuk air di dalam relau, keluli cair itu mencetuskan letupan hidrogen apabila bersentuhan dengan air di bawahnya.
“Jika keluli cair tertumpah dan bercampur ke dalam air pada suhu 1,800 darjah Celsius, letupan besar akan berlaku,” katanya.
Seorang saksi kejadian, Deniz Ulker memberitahu AFP, letupan itu dirasakan seperti gempa bumi.
“Berlaku letupan yang sangat kuat. Kemudian saya memandang ke arah kilang dan melihat asap tebal keluar dari cerobong serta api yang marak.
“Bumbung kilang itu seolah-olah mengalir seperti air ketika terbakar. Api itu mengalir ke bawah. Keadaannya seperti hari kiamat,” katanya.
HABAS merupakan sebuah konglomerat milik persendirian dan antara pengeluar keluli terbesar di Turkiye.
Bagaimanapun, kumpulan pekerja mendakwa syarikat itu mempunyai rekod keselamatan tempat kerja yang bermasalah.
Parti DEM yang pro-Kurdish di Turkiye berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.
“Pembunuhan beramai-ramai pekerja di Aliaga tidak boleh diterima!” menurut kenyataan parti itu yang turut menyebut beberapa pekerja maut di kilang berkenaan awal tahun ini akibat kecuaian.
Parti itu menegaskan punca letupan, sebarang unsur kecuaian serta kelemahan pemantauan perlu didedahkan secara telus dan semua pihak yang bertanggungjawab mesti dikenakan tindakan.
Parti DEM turut memaklumkan Pengerusi Bersamanya, Tulay Haimogullari akan melawat lokasi kejadian dan mengadakan sidang media.
HABAS yang dihubungi wartawan AFP enggan menjawab sebarang pertanyaan.
Sementara itu, akhbar berhaluan kiri, Evrensel melaporkan polis antirusuhan dikerahkan ke luar Hospital Aliaga, tempat mangsa yang cedera menerima rawatan, selain menyekat laluan ke lokasi kejadian.
Akhbar itu turut melaporkan abang kepada salah seorang mangsa yang maut membakar dirinya di luar kilang sebagai tanda protes. Bagaimanapun, orang ramai bertindak campur tangan sebelum membawanya ke hospital.
Keadaan mangsa itu belum dapat dipastikan, namun wartawan AFP melaporkan suasana di luar hospital dan kilang berkenaan sangat tegang.
Terdahulu, dua wakil kumpulan berhaluan kiri, Aegean Workers’ Collective ditahan di luar hospital ketika cuba mengeluarkan kenyataan mengenai isu keselamatan tempat kerja, menurut jurucakap kumpulan itu.
“Ketamakan melampau pihak pengurusan HABAS untuk mengaut keuntungan telah mengakibatkan bencana besar hari ini,” kata jurucakapnya, Oktay Turk.
Beliau berkata, semua pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi itu mesti dibawa ke muka pengadilan, selain menggesa rakan-rakannya dibebaskan segera.
Sebelum letupan pada Isnin, Evrensel melaporkan sekurang-kurangnya 11 pekerja maut sepanjang tempoh 10 tahun lalu ketika bekerja di kilang berkenaan.
Parti Buruh pula mendakwa kejadian itu merupakan kali ketiga dalam tempoh tiga minggu pekerja maut di HABAS.
Pekerja yang berang menggesa satu demonstrasi diadakan di sebuah dataran di Aliaga bagi membantah isu keselamatan tempat kerja dengan membawa slogan ‘Cukuplah, kami tidak mahu mati!’
“Kami berhimpun untuk mengatakan hentikan neraka eksploitasi ini yang menyaksikan puluhan rakan seperjuangan kami terkorban dan ratusan lagi hilang upaya akibat ketamakan majikan untuk mengaut keuntungan!” menurut kenyataan itu.-AFP











