PETALING JAYA: Dianggarkan 200 hingga 250 pengikut ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light dipercayai berada di negara ini yang masih bergiat aktif menyebarkan ajaran terbabit secara bersembunyi.
Sumber berkata, antara kaedah digunakan pengikut ajaran itu dengan menampal kod QR di lokasi awam termasuk pusat beli-belah untuk menarik perhatian orang ramai serta mengakses maklumat berkaitan ajaran terbabit.
Menurutnya, pengikut ajaran berkenaan dipercayai mempunyai matlamat utama untuk ke United Kingdom (UK) bagi menyertai gerakan itu secara lebih aktif serta bersama pemimpin ajaran berkenaan, Abdullah Hashem Aba Al-Sadiq.
“Antara syarat yang ditetapkan dalam ajaran itu ialah pengikut perlu mempromosikan gerakan berkenaan.
“Bagaimanapun, mereka hanya akan berbuat demikian secara terbuka selepas berada di UK,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan seramai 13 individu yang sebelum ini dipercayai mengikut ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light telah mengisytiharkan keluar daripada agama Islam dan kini dipercayai berada di luar negara.
Dalam pada itu, menurut sumber, ketika berada di negara ini, mereka menyebarkan ajaran berkenaan secara tertutup dan tidak mendedahkan identiti atau penglibatan masing-masing kepada umum.
Jelasnya, pengikut ajaran itu hanya akan mula menonjolkan diri selepas tiba di UK termasuk menerusi tindakan mencetuskan provokasi di media sosial bagi mempromosikan gerakan berkenaan.
“Terdapat pengikut yang sanggup membawa seluruh keluarga untuk berhijrah ke negara itu, manakala sebahagian yang lain mengambil keputusan meninggalkan keluarga demi menyertai gerakan terbabit.
“Lebih membimbangkan, ada antara mereka yang sanggup menjual harta benda semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membolehkan mereka ke UK,” katanya.
Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan enam lelaki membuat pengakuan terbuka keluar daripada agama Islam yang didakwa sebagai Islam versi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), tular di media sosial.
Menerusi video yang dikongsikan seorang pengguna di platform Threads itu, kesemua individu terbabit memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia, termasuk dari Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur sebelum membuat pengakuan secara berasingan.
Dalam video terbabit, terdapat individu yang melafazkan dua kalimah syahadah sebelum mengisytiharkan dirinya keluar daripada Islam yang dikaitkan dengan Jakim.
Mereka turut mendakwa kini mengikuti ajaran yang dianggap sebagai Islam sebenar, iaitu agama Ahmadi keamanan dan cahaya.
Pada 2024, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
Antara kepercayaan ajaran berkenaan yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman. – UTUSAN










