Malaysia dipilih tuan rumah IIFA, 250 tokoh ulama tersohor bincang isu kontemporari Islam

Malaysia dipilih tuan rumah IIFA, 250 tokoh ulama tersohor bincang isu kontemporari Islam

SIRAJUDDIN Suhaimee ketika sidang akhbar penganjuran IIFA di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keunikan Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama yang hidup dalam suasana harmoni menjadi antara faktor utama negara ini dipilih sekali lagi sebagai tuan rumah Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) ke-27 selepas 19 tahun.

Lebih menarik, pengalaman Malaysia dalam mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk itu turut menjadi antara topik yang akan diketengahkan untuk perbincangan ulama tersohor dari negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sepanjang persidangan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pemilihan Malaysia mencerminkan kepercayaan dan penghormatan diberikan IIFA terhadap negara ini, khususnya dalam mengenengahkan pendekatan kehidupan masyarakat pelbagai bangsa dan agama secara aman serta harmoni.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Antara sebab kenapa pihak IIFA memilih Malaysia adalah kerana mereka melihat di Malaysia ini kita ada macam-macam bangsa dan pelbagai agama, tetapi dapat hidup dalam keadaan harmoni.

“Jadi, Malaysia sebagai contoh yang ingin diketengahkan kepada masyarakat dunia agar dapat hidup aman sejahtera di bawah satu payung,” katanya dalam sidang akhbar sempena persidangan IIFA di sini hari ini.

Persidangan yang berlangsung selama empat hari dari 30 November hingga 3 Disember ini di Marriott Putrajaya dijangka menghimpunkan kira-kira 250 tokoh ulama tersohor dari negara-negara OIC.

Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan kali ini akan memberi tumpuan kepada tujuh teras perbahasan yang menyentuh pelbagai isu semasa umat Islam, termasuk istihsan, kecerdasan buatan (AI), perubatan, kekeluargaan, kewangan Islam serta fiqh kehidupan bermasyarakat.

Menurutnya, perbahasan mengenai AI penting bagi memastikan perkembangan teknologi baharu dimanfaatkan berlandaskan prinsip syariah dan tidak disalahgunakan sehingga membawa kemudaratan.

Persidangan itu turut menyaksikan pembentangan sebanyak 139 kertas kerja oleh para ulama dan pakar dalam tempoh empat hari sebelum satu Resolusi Putrajaya dimuktamadkan.

Resolusi yang dicapai kelak bukan sahaja akan menjadi panduan kepada negara-negara OIC, malah akan dibawa ke peringkat institusi agama masing-masing untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.

“Di Malaysia, resolusi berkenaan akan dibentangkan dalam Persidangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dibawa ke Persidangan Majlis Raja-Raja untuk mendapat perkenan dan makluman,” katanya.

Beliau berkata, walaupun pelaksanaan atau fatwa setiap negara mungkin mempunyai sedikit perbezaan mengikut konteks masing-masing, asas perbincangan dan panduan yang dipersetujui dalam persidangan IIFA boleh dijadikan rujukan bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini