Beruang berkeliaran resahkan penduduk Kampung Jelapang

Beruang berkeliaran resahkan penduduk Kampung Jelapang

ZULKIFLIEE Alias memantau keadaan perangkap yang dipasang Perhilitan di Kampung Jelapang, Setiu, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Baru hendak menarik nafas lega selepas seekor beruang ditangkap akhir bulan lalu, penduduk Kampung Jelapang, di sini sekali lagi diundang resah apabila ada lagi haiwan itu dikesan berkeliaran di sekitar kampung berkenaan.

Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jelapang, Zulkifliee Alias berkata, haiwan itu dilihat berkeliaran berhampiran kawasan kediaman termasuk di tepi jalan yang digunakan penduduk setiap hari.

Lebih membimbangkan kata­nya, terdapat penduduk terserempak dengan haiwan berkenaan ketika dalam perjalanan menghantar anak ke sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada mulanya kami sendiri keliru kerana tidak pasti berapa ekor beruang yang berkeliaran di kawasan ini.“Selepas seekor beruang ditangkap bulan lalu, kami sangka keadaan semakin reda tetapi masih ada penduduk terserempak dengan haiwan ini. Berdasarkan maklumat sebelum ini, dipercayai masih ada dua ekor lagi berkeliaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Menurut Zulkifliee, kehadiran beruang dikesan sejak Julai lalu namun sebelum ini kelibatnya lebih banyak dilihat di kawasan pinggir semak sebelum mula menghampiri kebun dan penempatan penduduk.

Kehadiran beruang itu turut menimbulkan kebimbangan kerana haiwan berkenaan bukan sahaja berkeliaran di kawasan kebun malah merosakkan tanaman dan sarang kelulut milik penduduk.

Katanya. kehadiran beruang dipercayai lebih kerap ketika musim buah-buahan kerana sumber makanan itu menjadi tarikan perhatian untuk mema­suki kawasan kebun.

“Apabila musim buah ber­akhir dan sumber makanan semakin berkurangan, kami bimbang beruang mula mencari makanan lain termasuk sisa makanan dan sampah yang dibuang di sekitar rumah penduduk.

“Saya sendiri sudah beberapa kali terserempak dengan haiwan ini dan berharap tiada kejadian tidak diingini berlaku, lebih-lebih lagi apabila ia mula memasuki kawasan yang menjadi laluan harian penduduk,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah memasang perangkap bagi menangani ancaman haiwan ber­kenaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini