GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli cedera diserang seekor beruang matahari semasa mencari herba untuk ibunya yang sakit tua di kawasan hutan berhampiran Kampung Guh, Pos Tohoi, di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Asmir Alang, 19, cedera di bahagian kaki kanan dan tangan kirinya.
Bapa saudara mangsa, Eddry Chali, 41, berkata, sebelum kejadian, Asmir bersama abang, adik dan tiga saudaranya ke hutan mencari herba yang merupakan akar-akar kayu untuk ibunya yang sakit tua.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, mereka berenam yang belum menjumpai herba yang dicari berehat untuk menghilangkan penat sebelum seekor beruang bersama seekor anaknya datang menyerang Asmir.
“Cemas dengan kejadian itu, abang dan adik mangsa bertindak memukul beruang terbabit yang tidak dapat dipastikan jantinanya menggunakan kayu sebelum haiwan itu melarikan diri,” katanya.
Eddry berkata, Asmir yang berlumuran darah dibawa pulang ke Pos Tohoi sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Kuala Betis dan dirujuk ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Katanya, doktor memberitahu keadaan Asmir sudah stabil sebelum dia ditempatkan di wad untuk pemantauan dan rawatan susulan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Berdasarkan rekod, serangan beruang matahari terhadap penduduk Orang Asli di Gua Musang terutamanya suku kaum Temiar kebanyakannya berlaku di Pos Balar.
Pada 20 Disember 2019, seorang lelaki Orang Asli cedera parah pada kepala, tangan kiri, dan kaki kanan akibat serangan beruang.
Pada 11 Januari 2023, beruang dewasa dilaporkan menggali kubur dan memakan mayat di Kampung Dakoh, Pos Balar. – UTUSAN










