JERANTUT: Penduduk dan murid gempar apabila seekor beruang liar tiba-tiba muncul di hadapan sekolah rendah di Felda Jengka 24 di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, kehadiran haiwan liar itu turut menggemparkan sebilangan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Jengka 24 yang kebetulan sudah keluar ketika tamat sesi persekolahan pada hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Mohd. Rozi Rozuki, 45, berkata, ketika kejadian itu, dia sedang berbual dengan rakannya tiba-tiba terdengar jeritan beberapa orang kanak-kanak berikutan kehadiran beruang liar itu.
“Beruang liar ini pada mulanya lari di atas jalan raya kemudian menyusup semula ke dalam semak berdekatan sekolah apabila mendengar suara manusia menjerit.
“Kehadiran beruang liar ini menjadi gempar seketika dalam kalangan ibu bapa yang menunggu anak di luar sekolah termasuk beberapa orang murid yang berada berdekatan pintu pagar,” katanya ketika dihubungi di Felda Jengka 24 di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rozi, dia dan beberapa orang ibu bapa turut menyusuri pergerakan haiwan liar itu berlari ke dalam semak berdekatan sekolah.
“Tubuh beruang ini kehitaman dan bersaiz agak besar berlari di celah pokok apabila mendengar suara kami sambil mengejar dan kemudiannya hilang dari pandangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, insiden kehadiran beruang itu mengejutkan penduduk di situ kerana belum pernah haiwan liar tersebut muncul di situ.
“Kehadiran beruang ini berdekatan sekolah rendah di sini dibimbingi mengancam keselamatan murid yang melalui jalan ini ke sekolah pada waktu pagi dan aktiviti kokurikulum sebelah patang,” katanya.
Ujarnya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudahpun dihubungi dan diharap dapat menangkap haiwan liar itu bagi menghindarkan ancaman keselamatan penduduk di situ. – UTUSAN










