Bantu Gen Z hadapi tekanan

Bantu Gen Z hadapi tekanan

KITA tidak perlu membesarkan generasi yang kebal daripada kesusahan, tetapi generasi yang tahu bagaimana menghadapi kesusahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTILAH generasi strawberi semakin kerap digunakan untuk menggambarkan golongan muda yang dikatakan mudah tersinggung, kurang tahan menghadapi tekanan, sukar menerima kritikan dan cepat berputus asa apabila berdepan kegagalan.

Seperti buah strawberi yang kelihatan cantik tetapi mudah lebam apabila ditekan, gambaran ini seolah-olah membawa maksud bahawa generasi muda hari ini semakin rapuh dalam menghadapi realiti kehidupan.

Namun, persoalannya, adakah generasi muda benar-benar semakin lemah atau masyarakat sebenarnya sedang berhadapan dengan perubahan bentuk tekanan yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu?

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikatnya, setiap generasi membesar dalam persekitaran sosial, ekonomi dan teknologi yang berbeza.

Jika generasi terdahulu berhadapan dengan cabaran mendapatkan pekerjaan, membina kehidupan dan memenuhi keperluan keluarga, golongan muda hari ini pula perlu mengharungi persaingan yang semakin kompleks.

Kos sara hidup, ketidakpastian pekerjaan, tekanan pencapaian, persaingan akademik serta tuntutan untuk sentiasa kelihatan berjaya dalam persekitaran digital menjadi sebahagian daripada realiti kehidupan mereka.

Dalam keadaan ini, melabelkan anak muda sebagai generasi strawberi mungkin terlalu mudah tanpa memahami faktor yang membentuk tingkah laku dan cara mereka bertindak balas terhadap tekanan.

Antara perkara yang sering dikaitkan dengan generasi strawberi ialah kecenderungan mengelakkan situasi yang tidak selesa. Ada yang sukar menerima teguran, berasa kecewa apabila tidak mendapat pengiktirafan dan mudah hilang motivasi apabila berhadapan dengan kegagalan.

Walaupun keadaan ini tidak boleh digeneralisasikan kepada semua golongan muda, masyarakat perlu melihat bagaimana corak didikan dan persekitaran sosial mempengaruhi pembentukan daya tahan seseorang.

Dalam sesetengah keadaan, keinginan ibu bapa untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak menyebabkan mereka terlalu dilindungi daripada kesukaran.

Anak-anak dibantu menyelesaikan hampir setiap masalah sehingga kurang mendapat peluang untuk belajar membuat keputusan, menerima akibat daripada tindakan sendiri dan membina keyakinan melalui pengalaman.

Sedangkan kegagalan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Seseorang tidak akan membina ketahanan diri sekiranya sentiasa dijauhkan daripada cabaran.

Keupayaan menerima teguran, mengurus kekecewaan dan bangkit selepas kegagalan perlu dibentuk melalui pengalaman, bukannya sekadar nasihat.

Ketahanan diri perlu dibina bersama persekitaran yang menyokong perkembangan individu, bukannya melalui budaya menyalahkan atau meremehkan cabaran yang dihadapi golongan muda.

Pada masa yang sama, golongan muda sendiri perlu mengambil tanggungjawab untuk membina disiplin, mengurus jangkaan dan memahami bahawa kejayaan tidak berlaku dalam tempoh yang singkat.

Persoalan generasi strawberi tidak seharusnya menjadi alasan untuk melabel atau merendahkan golongan muda.

Sebaliknya, istilah ini perlu membuka ruang perbincangan tentang bagaimana keluarga, institusi pendidikan, majikan dan masyarakat dapat membentuk generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan.

Kita tidak perlu membesarkan generasi yang kebal daripada kesusahan, tetapi generasi yang tahu bagaimana menghadapi kesusahan. Mereka perlu diberikan ruang untuk mencuba, melakukan kesilapan, menerima teguran dan bangkit semula.

Ketahanan sebenar bukan bermaksud seseorang itu tidak pernah jatuh atau berasa tertekan, tetapi keupayaannya untuk bangkit, belajar daripada pengalaman dan terus melangkah meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan. – UTUSAN

DR. NURUL FARDINI ZAKARIA
Pensyarah Kanan (Pemasaran)
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini