TAHUN 2026 mungkin dikenang sebagai titik perubahan penting dalam sejarah gerakan belia Malaysia.
Bukan sekadar kerana perubahan dasar, namun tahun ini turut menyaksikan proses peralihan generasi apabila lebih banyak ruang kepimpinan pertubuhan belia diserahkan kepada generasi lebih muda, khususnya Generasi Z (GenZ).
Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 [Akta A1602] mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026. Pindaan itu menetapkan had umur ahli pertubuhan belia antara 15 hingga sebelum 30 tahun, manakala pemegang jawatan pula berumur 18 hingga 30 tahun dengan tempoh memegang jawatan ketua pertubuhan belia tidak melebihi empat tahun.
Kerajaan turut menyediakan mekanisme transisi bagi membantu pertubuhan menyesuaikan diri dengan perubahan berkenaan.
Perubahan ini wajar dilihat daripada dua sudut. Pada satu sisi, ia membuka ruang lebih luas kepada anak muda untuk tampil memimpin. Pada sisi lain, perubahan itu menjadi cabaran kepada organisasi yang selama ini bergantung kepada pemimpin berpengalaman dalam mengurus struktur, jaringan, kewangan dan advokasi.
BUKAN SEKADAR TUKAR PEMIMPIN
Justeru, persoalan sebenar bukan sama ada Gen Z layak memimpin. Mereka sememangnya perlu diberikan peluang. Cabaran yang lebih besar ialah sejauh mana kita sudah menyediakan mereka untuk memikul amanah tersebut.
Pertukaran jawatan tidak semestinya bermakna berlakunya regenerasi. Regenerasi sebenar berlaku apabila ilmu, nilai, pengalaman, jaringan dan budaya organisasi berjaya dipindahkan kepada generasi seterusnya.
Anak muda memerlukan ruang untuk membuat keputusan tetapi pada masa sama mereka juga memerlukan bimbingan supaya tidak terpaksa mempelajari segala-galanya melalui kesilapan.
Dalam konteks ini, model transisi yang menarik untuk diperhatikan ialah kesinambungan antara Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).
Model ini memperlihatkan perjalanan organisasi mengikut fasa kehidupan, iaitu pelajar, belia, seterusnya golongan profesional dan masyarakat yang lebih matang.
PKPIM menyediakan ruang pembinaan kepimpinan pada peringkat pelajar. Apabila memasuki alam belia, kesinambungan itu dapat diteruskan melalui ABIM. Setelah memasuki alam kerjaya dan profesional, pengalaman serta kepakaran pula tidak terhenti, sebaliknya boleh disalurkan melalui Wadah.
Lebih penting, Wadah antara lain ditubuhkan bagi melancarkan peralihan kepimpinan antara generasi, memanfaatkan kepakaran selepas gerakan belia serta mengekalkan hubungan antara generasi lama dengan generasi baharu.
Model ini memberikan satu pengajaran penting bahawa had umur sepatutnya mengubah bentuk sumbangan seseorang, bukannya menamatkan sumbangannya kepada masyarakat.
Cabaran 2026 turut dapat dilihat melalui perkembangan sesetengah pertubuhan yang mula menilai semula kerangka pendaftaran mereka. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), misalnya, membuat keputusan sebulat suara pada Persidangan Agung Tahunannya yang ke-72 pada Ogos 2026 untuk keluar daripada Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan menyertai Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Menurut presidennya, keputusan itu berkait dengan kesan had umur 30 tahun terhadap fungsi asal GPMS yang berteraskan pendidikan dan kepentingan pelajar Melayu.
Perkembangan ini tidak semestinya perlu dilihat sebagai penolakan terhadap kepimpinan muda. Sebaliknya, ia membuka persoalan lebih besar mengenai bentuk organisasi yang paling sesuai bagi memastikan gerakan masyarakat terus relevan tanpa memutuskan kesinambungan pengalaman.
Dalam konteks ini, perbincangan mengenai ROY dan RoS tidak seharusnya menjadi pertandingan untuk menentukan siapa lebih baik. Perkara yang lebih penting ialah memastikan setiap organisasi mempunyai ruang undang-undang, tadbir urus dan struktur yang sesuai dengan identiti serta tujuan penubuhannya.
Akhirnya, 2026 tidak seharusnya dianggap sebagai tahun gelap bagi gerakan belia. Sebaliknya, boleh menjadi tahun pembaharuan.
Gen Z membawa kekuatan tersendiri, termasuk celik digital, pantas menyesuaikan diri dan berani mencuba pendekatan baharu.
Namun, pengalaman mengurus manusia, konflik, kewangan, dasar dan organisasi tidak boleh dipelajari sepenuhnya melalui media sosial. Sebab itu, peralihan kepimpinan perlu berlaku bersama proses pemindahan ilmu dan pengalaman secara terancang.
Generasi lama dan Gen Z juga tidak sepatutnya dilihat sebagai dua kelompok yang saling menggantikan. Hubungan yang lebih sihat ialah mewarisi sambil memperbaharui. Generasi terdahulu mewariskan pengalaman, manakala generasi baharu membawa keberanian untuk mencuba pendekatan yang berbeza.
Kejayaan reformasi kepimpinan belia akhirnya tidak boleh diukur hanya melalui jumlah pemimpin bawah 30 tahun yang dilantik. Ukuran yang lebih bermakna ialah sama ada organisasi menjadi lebih kuat, berintegriti, relevan dan berkesan dalam menyumbang kepada masyarakat.
Justeru, 2026 bukan sekadar tahun Gen Z mula memimpin. Ia merupakan tahun yang menguji sejauh mana Malaysia benar-benar bersedia mempercayai generasi mudanya.
Kepimpinan bukan sekadar tentang siapa yang menduduki kerusi tetapi siapa yang bersedia memikul amanah, belajar daripada generasi sebelumnya dan meninggalkan organisasi dalam keadaan lebih baik.
Jika proses itu berjaya, 2026 bukan pengakhiran sebuah era, tetapi permulaan kepada sebuah generasi baharu dalam gerakan belia Malaysia. –UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik dan Pegawai Khas Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).











