TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa pembentukan kerajaan campuran antara parti pembangkang dan parti-parti Arab boleh membawa kepada keruntuhan negara itu.
Kenyataan itu dibuat sebelum pengumuman Presiden Israel, Isaac Herzog mengenai calon yang akan diberi mandat membentuk kerajaan baharu susulan pilihan raya minggu lalu.
Ia ketika blok pembangkang yang diketuai bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot, semakin yakin mampu menamatkan pemerintahan Netanyahu, pemimpin paling lama berkhidmat di Israel.
Blok pembangkang itu turut membuka ruang kerjasama dengan parti Yahudi ultra-Ortodoks, langkah yang sebelum ini dianggap sukar dicapai.
Eisenkot, yang masih baharu dalam arena politik, sebelum ini berusaha mendapatkan sokongan golongan sekular dan liberal di Israel.
Kerjasama itu berpotensi membolehkan beliau memperoleh sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan campuran yang turut melibatkan parti Islam sederhana, Raam, selain sokongan luar daripada Joint List yang majoritinya terdiri daripada parti Arab.
Pemimpin Raam sebelum ini mengiktiraf Israel sebagai sebuah ‘negara Yahudi’.
“Kerajaan sedemikian yang bergantung kepada kumpulan Islamis akan meruntuhkan Negara Israel dari dalam, seperti yang berlaku di negara-negara Eropah, malah lebih buruk,” kata Netanyahu dalam ucapan yang dirakam lebih awal pada Sabtu.
Kenyataan itu menyamai retorik ahli politik berhaluan kanan jauh di Eropah yang mendakwa sebahagian kawasan di benua berkenaan kini tertakluk kepada undang-undang Islam.
Tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti dalam pilihan raya pada 27 Oktober lalu, ketika Israel berdepan perpecahan politik yang semakin ketara susulan pemerintahan Netanyahu berhaluan kanan jauh serta keletihan rakyat selepas tiga tahun konflik.
Herzog yang bertanggungjawab memilih calon untuk membentuk kerajaan baharu, pada Khamis mengakui Eisenkot wajar diberi mandat selepas mengadakan rundingan dengan semua parti.
Ini susulan sokongan daripada beberapa parti yang mewakili 67 anggota Parlimen kepada Eisenkot, berbanding 46 anggota yang menyokong blok Netanyahu.
Presiden itu turut memberi bayangan mahu meneroka kemungkinan pembentukan kerajaan perpaduan nasional yang menghimpunkan anggota Parlimen Yahudi Israel daripada kedua-dua blok.
Pada Sabtu, Netanyahu sekali lagi menyatakan sokongan terhadap cadangan berkenaan.
“Saya menyeru pembentukan kerajaan perpaduan nasional yang merangkumi semua parti dalam blok nasional serta parti Zionis yang mahu mempertahankan negara kita, satu-satunya negara milik bangsa Yahudi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara jelas hasrat untuk mengetuai gabungan itu, berbeza dengan pendiriannya dalam satu ucapan sebelum ini.- AFP











