MELAKA: Waad atau perjanjian yang menetapkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menjalani baki hukuman penjara di rumah selepas membayar RM50 juta perlu dihormati dan ditunaikan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan pengampunan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim melalui Lembaga Pengampunan perlu dilihat sebagai satu perjanjian atau waad yang sewajarnya dihormati.
“Ini soal perjanjian, waad. Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bagi pengampunan. Ini bukan kuasa kecil. Perlembagaan negara kita bagi kepada Yang di-Pertuan Agong kuasa pengampunan kepada mana-mana banduan. Kuasa ini telah pun diguna sekian lama, bukan ini kali pertama yang diguna.
“Setiap tahun akan ada banduan yang dapat pengampunan. Datuk Seri Najib Razak bukan orang pertama yang dapat pengampunan. Itu pengampunan yang bersyarat, pengampunan bersyarat kerana kena bayar RM50 juta.
“Pengampunan yang di-Pertuan Agong melalui Lembaga Pengampunan. Bila dah keluar keputusan tersebut, kita anggap sebagai satu janji, satu waad, maksudnya kalau dapat bayar RM 50 juta, setuju tak setuju dengan apa yang Datuk Najib buat dulu zaman 1MDB, dia boleh kembali ke rumah untuk menjalani hukuman dia.
“Tapi hari ini, kita tengok Peguam Negara sendiri, walaupun Najib dah bayar RM50 juta, resit dah bagi tapi tak boleh keluar. Adakah ini zalim?,” katanya ketika berucap dalam ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Seri Siantan di sini hari ini.
Menurutnya, kediaman Najib di Taman Duta, Kuala Lumpur juga sudah diwartakan sebagai penjara dan boleh digunakan bagi membolehkan bekas Presiden UMNO itu menjalani baki hukumannya di rumah.
“Rumah dia di Taman Duta, Kuala Lumpur sudah diwartakan sebagai penjara. Boleh sahaja pindahkan dia ke sana sambil Peguam Negara mencari penjelasan daripada mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy mencadangkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar bercuti sementara siasatan berhubung isu berkenaan selesai.
Beliau berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan kerana siasatan berkenaan turut membabitkan Jabatan Peguam Negara, sedangkan individu yang menjadi perhatian ialah Peguam Negara sendiri.
“Sebab itu saya buat kenyataan hari ini, lebih baik Peguam Negara bercuti sehingga siasatan terhadap beliau selesai.
“Jadi eloklah Peguam Negara hari ini, Dusuki, bercuti sehingga masalah ini selesai,” katanya. – UTUSAN











