JAIS seru masyarakat beri sokongan kepada Aliff Daniel, keluarga ikuti Islam sebenar

JAIS seru masyarakat beri sokongan kepada Aliff Daniel, keluarga ikuti Islam sebenar

Aliff Daniel
MAJLIS Pengisytiharan Taubat (Istitabah) yang melibatkan tiga individu, iaitu Aliff Daniel Adli, Rohizayanti Ramli dan Nur Ranea Ezreen Adli di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. -UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seluruh masyarakat beragama Islam dan pelbagai pihak disaran memberi sokongan kepada pempengaruh dan bekas pengamal perubatan tradisional, Aliff Daniel Adli supaya dia istiqamah dan terus berpegang kepada ajaran Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pemuda berusia 21 tahun itu dan keluarganya sudah pun menyatakan taubatnya dan kembali ke pangkal jalan.

“Pada 4 November yang lalu, dia sudah mengaku bersalah dengan perbuatannya dan dihukum memasuki pusat pemulihan akidah. Keesokannya pula, Aliff Daniel dan ibu serta adiknya juga melakukan pengisytiharan taubat atas perbuatannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mari kita bersama-sama bersangka baik sesama Islam, menjaga maruah saudara kita, saling menghormati dan bersama mewujudkan kesedaran melalui persekitaran yang mendukung kebaikan Aliff Daniel, keluarga dan umat Islam seluruhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan Aliff Daniel akhirnya bertaubat dan kembali ke jalan Islam yang sebenar dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Selain Alliff Daniel, ibunya, Rohizayanti Ramli, 52 dan adiknya, Nur Ranea Ezreen Adli, 19, turut sama bertaubat pada majlis itu sambil mereka berjanji tidak mengulangi perkara sama.

Shahzihan dalam kenyataan sama turut mengajar orang ramai supaya berhenti bersangka buruk dan memberi ruang kepada dia dan keluarganya mengikut ajaran Islam yang sebenar dengan tenang.

“JAIS amat berharap mana-mana hantaran berkaitan dengan Aliff Daniel dalam media sosial yang bukan di bawah kawalannya agar dapat diturunkan segera.

Syor ini dibuat bagi memberi sokongan kepada dia dan keluarga yang mahu mengikuti jalan Islam sebenar dengan tenang tanpa jejak digital yang memberi gambaran buruk kepadanya dan keluarga, pihak berkuasa agama, umat Islam dan agama Islam itu sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini