TOKYO: Jepun akan menubuhkan pasukan penyelamat siber bagi menangani peningkatan kes penggodaman yang menyasarkan sistem komputer syarikat di negara itu.
Perdana Menteri, Sanae Takaichi, berikrar merangka langkah kecemasan selepas puluhan syarikat melaporkan pencerobohan sistem tanpa kebenaran serta kemungkinan kebocoran data pelanggan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Insiden penggodaman dan kebocoran data semakin meningkat di seluruh dunia, manakala keupayaan kecerdasan buatan (AI) mengenal pasti kelemahan baharu untuk menceroboh sistem komputer turut mendapat perhatian.
Pejabat Takaichi mengesahkan Kabinet akan mengadakan mesyuarat peringkat menteri mengenai keselamatan siber pada 6 November.
Menurut laporan akhbar Yomiuri Shimbun, Jiji Press dan beberapa media lain, pakej dasar yang bakal diumumkan itu merangkumi penubuhan pasukan penyelamat siber membabitkan pakar daripada sektor kerajaan dan swasta.
Kerajaan juga akan menubuhkan sebuah sekretariat dalam tahun kewangan semasa bagi menyelaraskan penugasan pasukan berkenaan ketika keperluan mendapatkan bantuan berada pada tahap mendesak.
Jiji Press turut melaporkan, satu lagi pasukan pakar dikenali sebagai ‘Pasukan Bakat Elit’ akan digerakkan pada November bagi menjalankan simulasi serangan siber sebagai usaha memperkukuh keselamatan sistem.
Jurucakap utama kerajaan, Minoru Kihara, berkata langkah berkenaan merupakan permulaan ke arah peralihan kepada masyarakat yang memenuhi piawaian tertinggi dunia dalam aspek daya tahan keselamatan siber.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada 5 November, namun tidak menyebut secara khusus mengenai penubuhan pasukan penyelamat siber itu.
Pakej berkenaan bertujuan mengelakkan kerosakan daripada berlaku setakat yang mungkin dan sekiranya insiden berlaku, tindakan segera dapat diambil, katanya.- AFP











