PARIS: Sebuah bank serantau di Perancis berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada 118 juta euro (RM534.6 juta) yang dicuri dalam serangan siber selepas penggodam menceroboh sistemnya dan memindahkan wang ke akaun lain.
Presiden Confederation Nationale du Credit Mutuel (CNCM), Daniel Baal, berkata pihak bank sudah memperoleh semula sebahagian daripada dana berkenaan setakat Jumaat, namun tidak mendedahkan jumlah yang berjaya dipulihkan.
Serangan terhadap Credit Mutuel Arkea itu didedahkan pada Rabu, dengan penggodam dilaporkan memindahkan wang ke akaun lain tanpa menjejaskan dana milik pelanggan.
Menurut akhbar Le Telegramme, jumlah wang yang dicuri dalam serangan itu dianggarkan sebanyak 118 juta euro.
Baal, yang mengetuai badan penyelia pelbagai cabang Credit Mutuel, berkata unit khas antipenjenayah siber Perancis sedang menyiasat insiden berkenaan.
Beliau berkata, serangan siber berlaku setiap hari, namun kebanyakannya berjaya dipatahkan sebelum mendatangkan kerugian.
“Bagi serangan khusus ini, saya tidak dapat memastikan sama ada ia dilakukan oleh pihak dari Perancis atau luar negara,” katanya kepada stesen televisyen France 5.
Dalam perkembangan berasingan, serangan siber turut menyasarkan pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah minggu ini.
Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran serangan itu dipercayai sebahagian daripada usaha terancang untuk mengganggu bekalan makanan di rantau berkenaan.
Russia, yang sekian lama dituduh kerap melancarkan serangan siber terhadap negara Eropah, bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan.- AFP











