KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta bagi penyediaan bekalan makanan dan barangan keperluan mangsa banjir sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.
Pengarahnya, Ismail Kasan berkata, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada persediaan agensi itu bagi memastikan kebajikan mangsa banjir di seluruh negeri terus terjaga khususnya jika semua pusat pemindahan sementara (PPS) terpaksa beroperasi serentak.
Katanya, bekalan berkenaan mampu menampung keperluan kira-kira 141,000 mangsa banjir sekiranya semua 541 PPS aktif di negeri ini dibuka pada masa sama.
“Pada tahun ini, kita menerima peruntukan RM8.34 juta daripada kerajaan negeri dan RM2.8 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi persediaan menghadapi bencana. Setakat fasa pertama, kita sudah membelanjakan sebanyak RM4.8 juta untuk menyediakan bekalan keperluan mangsa banjir,” katanya ditemui pada Program Penghantaran Barang-barang Keperluan Banjir ke Pengkalan Hadapan Pulau Redang, Kuala Nerus 2026 di Jeti Jabatan Laut Wilayah Timur, di sini.
Ismail berkata, penghantaran ke Pulau Redang itu adalah yang terakhir selepas bekalan ke Pulau Perhentian diselesaikan pada 26 Oktober lalu.
Katanya, kira-kira enam tan metrik bekalan dibawa ke Pulau Redang bagi memenuhi keperluan hampir 2,000 penduduk dan dijangka mencukupi untuk tempoh dua minggu sekiranya berlaku gangguan bekalan susulan banjir.
“Penghantaran ini melengkapkan penempatan bekalan di semua pengkalan hadapan di negeri ini yang berjumlah 127 lokasi. Kita turut mempunyai stor bencana di peringkat daerah serta mini depoh di kawasan berisiko tinggi yang sering dilanda banjir bagi memastikan bekalan dapat disalurkan dengan segera apabila diperlukan,” katanya.
Ismail berkata, JKM Terengganu turut bersedia menggerakkan kira-kira 350 kakitangan di seluruh negeri bagi membantu pengurusan mangsa banjir selain mendapat sokongan 11 kaunselor berdaftar yang memberikan khidmat sokongan psikososial di PPS. – UTUSAN











