Ronaldo bersara, FPF rancang majlis khas

Ronaldo bersara, FPF rancang majlis khas

CRISTIANO Ronaldo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Persatuan Bolasepak Portugal (FPF) merancang untuk mengadakan majlis khas bagi memberi penghormatan kepada Cristiano Ronaldo yang mencipta sejarah dan mengubah landskap bola sepak negara berkenaan.

Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas pemain berusia 41 tahun berkenaan mengesahkan persaraannya daripada arena antarabangsa pada 5 November, sekali gus menamatkan perjalanan selama 23 tahun bersama skuad Selecao.

Ronaldo meninggalkan pentas antarabangsa dengan memegang rekod penampilan dan jaringan terbanyak dalam kalangan pemain lelaki di peringkat antarabangsa, sekali gus meninggalkan legasi yang wajar diraikan menerusi majlis khas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan penuh emosi, badan induk itu merakamkan penghargaan kepada Ronaldo dengan menekankan kepemimpinan, dedikasi dan pengaruhnya terhadap beberapa generasi pemain.

FPF menyifatkan Ronaldo bukan sekadar atlet luar biasa, malah seorang pemimpin yang menjadi inspirasi serta lambang semangat sebenar pasukan kebangsaan Portugal.

“Lebih daripada seorang atlet luar biasa, kapten kami adalah pemimpin yang memberi inspirasi, contoh dedikasi dan simbol utama jiwa pasukan kebangsaan kami,” menurut kenyataan FPF.

Badan induk itu turut mengiktiraf pencapaian luar biasa Ronaldo yang merekodkan 234 penampilan antarabangsa dan 146 gol.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu dianggap berjaya membawa harapan seluruh negara, memecahkan pelbagai rekod dan memimpin Portugal mengharungi detik paling bersejarah dalam arena bola sepak mereka.

Kenyataan itu turut menekankan pengaruh Ronaldo terhadap penyokong muda Portugal serta pengiktirafan antarabangsa yang dibawanya kepada negara berkenaan.

Presiden FPF, Pedro Proenca, turut menyuarakan penghargaan sama dengan menyifatkan Ronaldo sebagai lebih daripada seorang pemain, insan, atlet, rujukan, wira dan pemimpin. 

“Persatuan Bolasepak Portugal tidak akan membiarkan perpisahan ini berlangsung tanpa penghormatan yang sewajarnya,” kata Proenca

Kontrak semasa Ronaldo bersama Al-Nassr akan berakhir pada Jun 2027, sekali gus menjadikan tempoh berkenaan antara peluang sesuai untuk mengadakan perlawanan penghormatan atau majlis khas.

Sekiranya Ronaldo turut membuat keputusan menamatkan karier di peringkat kelab pada musim panas 2027, acara itu berpotensi menjadi sambutan berganda bagi meraikan keseluruhan perjalanan kariernya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini