PETALING JAYA: Panggilan menyertai skuad Harimau Malaya menjadi peluang terbaik buat semua pemain membuktikan kemampuan, kualiti serta potensi masing-masing di pentas antarabangsa menjelang dua aksi persahabatan menentang China dan Yaman.
Pendekatan itu dilihat sebagai ruang penting untuk pemain, khususnya mereka yang masih belum mendapat banyak peluang menyarung jersi kebangsaan, menunjukkan kemampuan sebenar sekali gus meyakinkan barisan kejurulatihan Harimau Malaya.
Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, pemilihan skuad kali ini memberi penekanan kepada usaha membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai pemain untuk membuktikan kemampuan serta potensi masing-masing.
“Bagi dua aksi persahabatan di China, saya mengambil pendekatan untuk memberikan peluang kepada pemain-pemain termasuk dua muka baharu menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya.
“Saya mahu melihat kemampuan, kualiti dan kesesuaian mereka untuk beraksi di peringkat antarabangsa, selain menilai sejauh mana mereka dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan serta kehendak pasukan.
“Ini juga merupakan peluang penting untuk kita memperluaskan pilihan pemain yang boleh dipertimbangkan bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih kompetitif pada masa akan datang,” katanya.
Cheng Hoe menjelaskan bahawa pendekatan itu amat penting memandangkan kalendar antarabangsa FIFA seterusnya hanya akan berlangsung pada Mac 2027, sekali gus menjadikan pertemuan menentang China dan Yaman sebagai platform terbaik untuk menilai kemampuan lebih ramai pemain.
Justeru, kedua-dua aksi persahabatan itu bukan sekadar medan menguji kekuatan pasukan, sebaliknya turut menjadi peluang buat barisan kejurulatihan mengenal pasti pemain yang berpotensi untuk terus diberikan kepercayaan dalam skuad kebangsaan.
“Sudah tentu kita mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain yang belum mendapat banyak ruang bersama skuad kebangsaan. Kita perlu melihat lebih ramai pilihan pemain dan mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk menjadi sebahagian daripada perancangan Harimau Malaya.
“Dua perlawanan ini bukan sekadar untuk mendapatkan keputusan positif, tetapi juga penting sebagai sebahagian daripada proses membina pasukan dan mempersiapkan skuad bagi menghadapi cabaran lebih besar pada masa akan datang,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kedua-dua aksi persahabatan Tier 1 itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya sebagai persediaan awal Harimau Malaya menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2030/Piala Asia 2032.
Menurutnya, tempoh persiapan berkenaan akan digunakan untuk menilai prestasi individu pemain, membentuk keserasian dalam pasukan serta memperkukuh pemahaman taktikal bagi memastikan skuad negara memiliki asas permainan yang lebih mantap.
“Jadi tempoh persiapan kali ini akan digunakan sebaik mungkin untuk menilai prestasi individu, membentuk keserasian antara pemain serta memperkukuh pemahaman taktikal dalam pasukan.
“Saya berharap semua pemain yang mendapat panggilan kali ini dapat memanfaatkan peluang yang diberikan, menunjukkan komitmen tinggi dan memberikan aksi terbaik apabila menyarung jersi kebangsaan,” jelasnya. – UTUSAN











