PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tidak mahu terburu-buru memburu kedudukan No.1 dunia sebaliknya memilih pendekatan lebih berhati-hati dalam usaha memastikan tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) menjadi kenyataan.
Azizulhasni yang kini menghuni ranking keenam dunia berkata, keutamaan ketika ini adalah mengekalkan kedudukan dalam kelompok lima terbaik dunia bagi memastikan peluang melayakkan diri ke temasya terbesar dunia itu berada pada tahap lebih selesa.
Katanya, kedudukan 13 terbaik dunia diperlukan bagi memburu slot individu ke Olimpik, sekali gus meletakkan pencapaiannya ketika ini pada landasan yang baik.
“Kalau boleh, kita mahu naik setinggi mungkin. Tetapi seperti yang saya beritahu sebelum ini, kita kena berhati-hati. Kita tidak mahu mengumpul mata terlalu cepat atau naik terlalu tinggi dalam masa singkat.
“Kita kena bergerak perlahan-lahan mengikut keadaan dan situasi. Objektif utama adalah untuk layak ke Olimpik. Jadi, berada dalam kelompok lima terbaik dunia sudah cukup baik buat masa ini,” katanya.
Pelumba berusia 38 tahun itu berkata, mengejar status No.1 dunia bukan keutamaan kerana ia dikhuatiri hanya mewujudkan tekanan tidak diperlukan ketika tumpuan utama adalah memastikan kelayakan ke LA28.
Jelasnya, kedudukan keenam dunia ketika ini sudah memberikan kelebihan, namun dia tidak mahu terlalu selesa sehingga menjejaskan usaha mengekalkan kedudukan dalam kelompok teratas.
Mengulas laluan kelayakan individu, Azizulhasni menjelaskan hanya 13 pelumba terbaik dunia berpeluang mendapatkan slot menerusi laluan berkenaan selepas mengambil kira kuota yang diperuntukkan kepada negara layak melalui acara berpasukan (team sprint).
Katanya, negara yang berjaya melayakkan diri menerusi acara pecut berpasukan akan memperoleh dua slot individu, sekali gus mengurangkan jumlah tempat yang boleh direbut melalui kelayakan individu. – UTUSAN











