KUALA LUMPUR: Tealive memperluas rangkaian produknya ke pasaran minuman sedia diminum (RTD) menerusi pelancaran Sparkling Prebiotic Tea Soda, yang didakwa sebagai teh prebiotik berkarbonat pertama di Malaysia dalam format tin.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, pengenalan produk itu merupakan usaha syarikat meneroka segmen baharu dalam pasaran minuman berasaskan teh, seiring perubahan cita rasa dan corak penggunaan pengguna.
Menurutnya, Tealive Sparkling menggabungkan teh yang dibru sejuk, jus buah sebenar dan karbonasi ringan, selain mengandungi prebiotik serta tidak menggunakan pewarna tiruan.
“Teh sentiasa menjadi sebahagian daripada identiti Tealive, namun cara pengguna menikmatinya terus berkembang.
“Tealive Sparkling membolehkan kami memperkenalkan cara baharu menikmati teh yang digemari ramai dengan tambahan kesegaran dan karbonasi,” katanya semasa Pelancaran Sparkling Prebiotic Tea Soda Tealive di sini.
Pelancaran produk baharu itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Tambah Brian, produk itu bukan sekadar menawarkan satu lagi pilihan minuman berkarbonat, sebaliknya memperluas potensi teh untuk dinikmati dalam format berbeza.
Rangkaian Tealive Sparkling ditawarkan dalam empat pilihan perisa, iaitu Passion Fruit Pineapple Tea, Lychee Oolong Tea, White Peach White Tea dan Apple Lemon Oolong Tea.
Produk berkenaan kini boleh didapati di cawangan terpilih 7-Eleven, Econsave, Jaya Grocer, Village Grocer, Petron, BilaBila Mart dan The Food Merchant, selain menerusi platform e-dagang Tealive.
Tealive mula beroperasi di Malaysia pada 2017 sebelum berkembang ke sembilan pasaran antarabangsa.
Di Filipina, jenama itu kini mempunyai 40 cawangan dan menyasarkan peningkatan kepada 100 cawangan menjelang 2028.
Pada Oktober lalu, Tealive turut memasuki pasaran Bangladesh menerusi pembukaan tiga cawangan.-UTUSAN











