KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperkukuh ekosistem francais menerusi pembangunan jenama tempatan dan memperluas penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai francaisor.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, fokus utama kementerian itu adalah memperkasa penyertaan francais tempatan dalam pasaran domestik, selain membantu jenama tempatan mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, kejayaan jenama tempatan seperti Tealive membuktikan bahawa francais negara mempunyai keupayaan untuk bersaing, berkembang dan menembusi pasaran antarabangsa.
“Bagaimanapun, kejayaan itu memerlukan strategi perniagaan yang tepat, inovatif dan responsif terhadap perubahan kehendak pasaran, khususnya pengguna.
“Perkara ini telah dibuktikan oleh Tealive yang tidak pernah berhenti dengan produk sedia ada, sebaliknya terus melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi supaya jenama itu kekal relevan sebagai pilihan pengguna.
“Pada masa sama, Tealive turut memenuhi kehendak dan trend semasa,” katanya semasa Pelancaran Sparkling Prebiotic Tea Soda Tealive di sini.
Beliau berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 memperuntukkan RM18 juta kepada Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bagi melaksanakan dua program pembangunan usahawan francais tempatan.
Daripada jumlah itu, RM20 juta disediakan menerusi Pernas SME & Francaisor Financing Scheme (PFSF) bagi pembiayaan modal dan pengembangan perniagaan, manakala RM9 juta lagi diperuntukkan kepada program Be Your Own Boss yang menyasarkan golongan wanita dan belia untuk menceburi industri francais.
Beliau berkata, kejayaan francais tempatan seperti Tealive wajar dijadikan contoh dalam usaha memperkukuh industri berkenaan, selaras dengan pelaksanaan gerakan Jom Beli Produk Malaysia yang memberi tumpuan kepada empat teras utama.
“Teras pertama gerakan itu adalah memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat supaya mengutamakan pembelian produk tempatan, yang perlu disokong dengan penawaran produk berkualiti, pelbagai dan pada harga berpatutan.
“Kehadiran Tealive dalam industri francais memberikan pilihan kepada pengguna. Kita melihat jenama ini bukan sahaja menawarkan kepelbagaian produk, malah pada harga yang berpatutan.
“Teras kedua pula membabitkan pendekatan menyeluruh negara yang memerlukan kerjasama kerajaan, industri dan rakyat dalam menggalakkan penggunaan produk tempatan,” katanya.
Rekod Sistem MyFEX 2.0 menunjukkan sebanyak 3,681 francais berdaftar di negara ini setakat 27 Oktober 2026, merangkumi 489 francaisor dan 3,192 francaisi.
Daripada jumlah itu, sebanyak 304 atau 62.2 peratus merupakan francaisor tempatan, sekali gus menunjukkan penyertaan jenama tempatan dalam industri berkenaan semakin berkembang.
Mengulas mengenai prestasi eksport francais tempatan, Armizan berkata, keupayaan jenama tempatan menembusi pasaran antarabangsa menunjukkan perkembangan memberangsangkan, seiring peningkatan jumlah pendaftaran francais dari tahun ke tahun.
Katanya, peluasan pasaran merupakan antara empat teras utama Jom Beli Produk Malaysia yang turut memberi penekanan kepada usaha membawa lebih banyak jenama tempatan ke pasaran luar negara.
“Usaha itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama Kementeruan Pedagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Ia turut diselaraskan melalui Jawatankuasa Kabinet Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II,” katanya.-UTUSAN











