5.4 juta penerima STR Fasa 4 dapat bayaran berperingkat mulai hari ini

5.4 juta penerima STR Fasa 4 dapat bayaran berperingkat mulai hari ini

ANWAR Ibrahim ketika beramah mesra bersama peniaga pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) peringkat Kebangsaan, baru-baru ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 berjumlah RM1.1 bilion kepada 5.4 juta penerima akan dibuat secara berperingkat mulai hari ini hingga 6 November ini bagi penerima sedia ada.

Bagi penerima baharu dan pemohon rayuan yang diluluskan akan menerima bayaran mulai 16 November ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengikut kategori kelayakan, isi rumah akan menerima bayaran sehingga RM500, manakala warga emas tiada pasangan akan menerima RM150.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kekuatan negara menuntut kita menegakkan keadilan untuk semua kelompok masyarakat, meskipun di kota atau di desa, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya hari ini.

Daripada jumlah penerima itu, seramai 4 juta merupakan penerima isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah, manakala 1.4 juta lagi merupakan warga emas tiada pasangan.

Melalui STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Kerajaan MADANI mengagihkan sebahagian hasil negara kepada kelompok yang memerlukan agar kita semua dapat mengecapi kehidupan yang lebih bermaruah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, menjelang sambutan Deepavali, besarlah harapan beliau agar penyaluran STR Fasa 4 ini dapat sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan keluarga yang meraikannya, khususnya kaum India.

Katanya, kaum India  merupakan antara penerima utama STR dengan lebih 630,000 penerima, di samping membantu penerima lain mengurus keperluan harian dan perbelanjaan akhir tahun.

“Bantuan ini melengkapi usaha Kerajaan untuk memperkukuh ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” tambah beliau.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing.

Katanya, penerima tanpa akaun bank pula boleh mendapatkan bayaran secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Bagi memastikan bantuan STR terus disalurkan kepada golongan yang layak, seramai 1.68 juta penerima yang tidak mengemas kini maklumat permohonan selama tiga tahun berturut-turut telah diingatkan melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) supaya berbuat demikian.

“Penerima yang terlibat disaran mengemas kini maklumat melalui portal rasmi STR bagi membolehkan kelayakan mereka disemak semula untuk tahun 2027,”katanya.

Pengemaskinian ini penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan berdasarkan maklumat terkini penerima.

Penstrukturan semula kewangan kerajaan serta penambahbaikan tatakelola telah membolehkan lebih banyak hasil negara disalurkan kepada rakyat yang memerlukan.

Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, hampir tiga kali ganda pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada 2016.

Maklumat lanjut, semakan status dan soalan lazim (FAQ) STR boleh didapati melalui portal rasmi bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat SARA boleh dirujuk di sara.gov.my.

Pada masa sama, MOF mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan, serta hanya merujuk kepada portal rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini