Kanak-kanak yang sering kelihatan letih, pucat dan kurang bermaya walaupun mendapat tidur mencukupi tidak seharusnya dianggap sekadar keletihan selepas bermain atau melakukan aktiviti harian.
Keadaan itu mungkin menandakan masalah kesihatan tertentu, terutama apabila anak masih lesu dan tidak kembali cergas meskipun sudah makan, berehat serta tidur secukupnya.
Pakar Pediatrik, Dr. Yong Junina Fadzil berkata, keletihan berpanjangan dalam kalangan kanak-kanak boleh dikenal pasti melalui beberapa tanda seperti hilang selera makan, wajah pucat dan berdengkur ketika tidur malam.

“Kanak-kanak yang letih selepas bermain seharian atau bersukan biasanya akan kembali normal selepas makan, berehat dan tidur.
“Sebaliknya, kanak-kanak yang mengalami keletihan berpanjangan mungkin masih letih walaupun sudah mendapat tidur dan rehat secukupnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, keadaan itu boleh berpunca daripada beberapa faktor termasuk jangkitan cacing, kekurangan nutrisi serta gangguan kualiti tidur akibat masalah kesihatan seperti asma tidak terkawal dan resdung.
Selain itu, pembengkakan tonsil dan adenoid juga boleh menyebabkan kanak-kanak berdengkur, sekali gus mengganggu kualiti tidur mereka.
Kekurangan zat besi sebabkan anemia
Dr. Yong Junina berkata, kekurangan zat besi boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami anemia sehingga menyebabkan mereka kelihatan pucat dan kurang bertenaga.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan tahap tenaga, malah boleh mengakibatkan anak hilang selera makan serta mengalami masalah pembelajaran.
Selain kekurangan zat besi, anemia juga boleh berpunca daripada kekurangan folat atau penyakit seperti talasemia.
Beliau berkata, keletihan berpanjangan turut boleh dikaitkan dengan penyakit kronik seperti masalah buah pinggang, jangkitan paru-paru, leukemia dan demam.
“Keletihan mungkin disebabkan kekurangan darah merah, iaitu anemia, penyakit kronik yang belum dikenal pasti sebelum ini, jangkitan cacing atau masalah lebih serius seperti kanser,” jelasnya.
Perhatikan perubahan fizikal anak
Menurut Dr. Yong Junina, ibu bapa perlu peka terhadap perubahan fizikal anak yang mengalami keletihan berpanjangan, terutama apabila keadaan itu disertai tanda-tanda lain.
Antaranya termasuk lebam pada badan, gusi berdarah, perut kembung, bintik-bintik merah pada kulit serta perubahan warna kulit dan mata menjadi kuning.
“Sekiranya anak masih letih walaupun mendapat tidur mencukupi, atau mengalami demam berpanjangan dan hilang selera makan, ibu bapa disarankan membawanya berjumpa doktor,” katanya.
Tambahnya, untuk mengenal pasti punca keletihan, pakar pediatrik akan mendapatkan sejarah kesihatan anak daripada ibu bapa, termasuk waktu gejala mula dikesan, corak pemakanan, aktiviti harian serta rutin tidur dan bangun.
“Doktor juga akan bertanyakan gejala lain seperti batuk berpanjangan, pernafasan laju, demam, lebam dan gusi berdarah sebelum menjalankan pemeriksaan fizikal.
“Pemeriksaan itu merangkumi penilaian tumbesaran anak serta pemeriksaan bagi mengesan tanda pendarahan seperti gusi bengkak dan berdarah, lebam atau pembengkakan pada badan,” jelasnya.
Selain itu, pemeriksaan abdomen dilakukan bagi memastikan sama ada terdapat pembengkakan hati atau limpa.
Bergantung kepada hasil pemeriksaan, doktor mungkin mengambil sampel darah untuk menilai tahap hemoglobin, sel darah putih serta fungsi buah pinggang dan hati. Pemeriksaan air kencing juga mungkin dilakukan.
Pemakanan seimbang, tidur mencukupi
Sekiranya keletihan bukan berpunca daripada penyakit, pemakanan seimbang, gaya hidup aktif dan tidur mencukupi dapat membantu mengekalkan kecergasan kanak-kanak.
Ibu bapa perlu memastikan anak mendapat makanan seimbang yang merangkumi sumber karbohidrat seperti nasi, ubi, roti dan mi serta protein daripada ayam, daging, ikan dan udang.
Pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan air yang mencukupi juga perlu dititikberatkan bagi memenuhi keperluan harian anak.
Selain pemakanan, rutin tidur yang teratur turut penting dengan memastikan anak tidur sebelum pukul 10 malam dan mendapat rehat sekurang-kurangnya lapan jam sehari.
Dalam masa sama, penggunaan gajet secara berlebihan perlu dikawal kerana pendedahan berpanjangan boleh menyebabkan keletihan.
Kanak-kanak yang menggunakan gajet hampir waktu tidur mungkin mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam.
“Sekiranya waktu tidur tidak teratur, badan mereka akan mengalami kesukaran untuk wind down,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan ibu bapa mengehadkan penggunaan gajet dua hingga tiga jam sebelum tidur bagi memastikan otak dan mata anak mendapat rehat secukupnya.
Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak memandang ringan perubahan tahap tenaga dan aktiviti harian anak, sebaliknya membawa mereka mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya kelihatan letih dan kurang bermaya bagi mengenal pasti punca sebenar.











