PETALING JAYA: Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.05 hingga RM4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini menjelang keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 5 November ini.
Pada pukul 5 petang semalam, ringgit diniagakan pada paras 4.0740/4.0780 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.0590/4.0730 ketika ditutup pada Isnin.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sebarang kenaikan OPR atau petunjuk lebih cenderung kepada pengetatan dasar monetari oleh BNM akan menyokong ringgit.
Katanya, bagaimanapun, Kenanga Investment menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, namun memberi isyarat lebih hawkish susulan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga.
“Eksport pada September pula meningkat 54.5 peratus dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) mencapai paras tertinggi dalam tempoh 51 bulan.
“Dari sudut luaran, keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November ini, data pekerjaan negara itu serta perkembangan ketegangan di Asia Barat turut mempengaruhi pergerakan ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, penyusutan dolar AS sekiranya ketegangan geopolitik reda dan hasil Perbendaharaan AS bagi tempoh 10 tahun kekal di bawah lima peratus berpotensi menyokong ringgit.
“Sebaliknya, peningkatan ketidaktentuan global boleh mengukuhkan semula dolar AS.
“Sementara itu, peningkatan aktiviti ekonomi menjelang sambutan Deepavali dan persiapan akhir tahun turut berpotensi menyokong permintaan terhadap ringgit, termasuk menerusi penukaran mata wang oleh pekerja asing dan penghantaran pulang hasil eksport oleh syarikat tempatan.
“Bagaimanapun, faktor bermusim itu dijangka memberi kesan lebih kecil berbanding keputusan OPR dan sentimen pasaran global.
“Kenanga Investment turut mengekalkan sasaran ringgit pada RM4.00 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, sekiranya BNM memberi petunjuk jelas ke arah kenaikan OPR kepada tiga peratus pada separuh pertama 2027,” jelasnya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai menjangkakan ringgit kekal kukuh tetapi bergerak dalam julat kecil antara RM4.04 hingga RM4.08 berbanding dolar AS minggu ini.
Beliau berkata, pergerakan mata wang tempatan itu banyak dipengaruhi keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) serta perkembangan kadar faedah AS.
Menurutnya, antara faktor yang menyokong ringgit ialah jangkaan kenaikan atau normalisasi OPR, dengan pasaran melihat kemungkinan BNM menaikkan kadar sebanyak 25 mata asas atau sekurang-kurangnya memberi petunjuk dasar monetari lebih ketat.
“Kadar faedah lebih tinggi berpotensi menarik aliran masuk dana asing, sekali gus menyokong nilai ringgit.
“Selain itu, prestasi ekonomi Malaysia yang mengatasi jangkaan pada 2026 turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap aset domestik.
“Asas ekonomi yang kekal baik, termasuk lebihan perdagangan elektronik, aliran masuk dana ke pasaran bon serta kestabilan fiskal negara, juga menjadi faktor sokongan kepada ringgit dalam jangka sederhana,” jelasnya. – UTUSAN











