PERUBAHAN yang wajar dikekalkan untuk jangka panjang ialah pelaksanaan sistem kerja fleksibel, termasuk bekerja dari rumah (BDR).
Bergantung pada jenis pekerjaan, pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, malah mampu meningkatkan produktiviti organisasi.
Melalui kaedah tersebut, pekerja dapat melaksanakan tugas tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas, bersesak dalam pengangkutan awam atau menghadapi risiko kemalangan ketika berulang-alik ke pejabat.
Secara tidak langsung, mereka dapat menjimatkan wang, masa dan tenaga.
Pendekatan ini juga berpotensi mengurangkan kesesakan jalan raya serta penggunaan pengangkutan awam, khususnya di bandar besar. Hal ini penting kerana sebahagian pekerja menghabiskan antara dua hingga tiga jam sehari untuk perjalanan pergi dan balik akibat kesesakan lalu lintas.
Pelaksanaan kerja fleksibel tidak semestinya menjejaskan produktiviti. Sebaliknya, pengurusan masa, hari dan lokasi bekerja yang disesuaikan dengan keperluan majikan serta pekerja membolehkan tugasan diselesaikan dengan lebih teratur.
Malah, pekerja yang kurang terbeban dengan perjalanan harian berpeluang memberikan tumpuan lebih baik terhadap tanggungjawab mereka.
Justeru, kaedah ini wajar diperluas, terutama dalam organisasi di bandar besar, sebagai salah satu langkah menangani masalah kesesakan. Pengurangan tekanan dan keletihan akibat perjalanan jauh bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan pekerja, malah membantu organisasi memperoleh mutu perkhidmatan yang lebih baik.
Dari sudut kerajaan, pengurangan kebergantungan terhadap perjalanan fizikal juga berpotensi mengoptimumkan perbelanjaan pembangunan infrastruktur jalan raya dan pengangkutan awam. Penjimatan tersebut boleh dimanfaatkan untuk keutamaan lain seperti pendidikan, pertahanan serta bantuan kebajikan kepada golongan memerlukan.
Selain itu, perkembangan teknologi membolehkan pelbagai urusan dilaksanakan secara dalam talian tanpa memerlukan kehadiran fizikal di pejabat. Antaranya termasuk mesyuarat, bengkel dan seminar yang boleh dijalankan secara maya dengan lebih mudah dan menjimatkan kos.
Sehubungan itu, majikan sektor swasta khususnya perlu memberikan perhatian terhadap pindaan Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang memperuntukkan aturan kerja fleksibel.
Peruntukan ini membolehkan pekerja memohon perubahan waktu, hari dan tempat bekerja, tertakluk kepada pertimbangan serta kelulusan majikan. Pelaksanaannya wajar diberi perhatian agar manfaat sistem kerja fleksibel dapat dinikmati secara lebih meluas. –UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)











