KANGAR: Jabatan Mufti negeri akan mempermudahkan proses permohonan baharu mana-mana pihak berhasrat untuk mendapatkan tauliah mengajar agama Islam di negeri ini.
Buat masa ini, seramai 717 guru agama meliputi 43 penerima baharu direkodkan memiliki tauliah mengajar agama Islam di Perlis bagi tahun ini.
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata, permohonan-permohonan baharu bagi mendapatkan tauliah itu sentiasa diterima secara berterusan dari dalam mahu pun luar negeri ini.
“Hari ini, 43 orang menerima tauliah baharu, menjadikan jumlah keseluruhan pemegang tauliah di Perlis seramai 717 orang dan bagi negeri sekecil Perlis, jumlah itu agak ramai.
“Kita berada pada era serba pantas, jadi kita mudahkan urusan permohonan tauliah dan sediakan kad mengajar yang boleh digunakan sebagai lesen mengajar, malah fungsinya mungkin akan dikembangkan lagi pada masa depan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis 2026 di Dewan Warisan hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan diiringi Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah.
Pada majlis tersebut, sembilan individu menerima tauliah umum manakala seorang wakil menerima tauliah mengajar al-Quran.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, setiap guru agama perlu mempunyai asas ilmu kukuh dan mengamalkan ajaran disampaikan serta menunjukkan contoh peribadi yang baik.
“Keikhlasan, ketakwaan dan kesungguhan menambah ilmu juga perlu menjadi pegangan dalam melaksanakan tugas ini,” titah baginda.
Baginda bertitah, perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat.
Titah baginda, peluang itu perlu dimanfaatkan dengan bijak khususnya dalam memperluas capaian dakwah kepada generasi muda.
“Namun, setiap maklumat yang disampaikan perlu disemak dan dipastikan kesahihan. Guru agama hendaklah mampu menilai sumber, memahami konteks dan memastikan penjelasan diberikan berlandaskan rujukan agama yang muktabar,” titah baginda. -UTUSAN











